Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEORANG kerani menitiskan air mata ketika menghadapi sembilan pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM327,844.50 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, Nada Aimi A Rahman, 34, yang juga bekas penolong pegawai tadbir di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga enam, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang tunai RM308,987 yang diamanahkan kepadanya melalui enam transaksi untuk kegunaan sendiri pada 2015 hingga 2018 di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Bagi pertuduhan pertama hingga enam, Nada mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Semua pertuduhan itu bersabit Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM60,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikurangkan jaminan kerana tidak lagi berkerja selain keluarganya tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Norma kemudian menawarkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut seksyen sama.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM18,857.50 di lokasi sama pada 2017 hingga tahun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Lee mencadangkan jaminan RM30,000 namun mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:00 AM
NADA Aimi diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Melaka.