RATUSAN penduduk memberi penghormatan jambangan bunga kepada mangsa tembakan Christchurch.
AFP

SUASANA pilu menyelubungi tanah perkuburan di Christchurch, New Zealand hari ini apabila ratusan penduduk bandar itu berkumpul menghadiri majlis pengebumian pertama mangsa tembakan di dua masjid pada Jumaat lalu.

AFP melaporkan, mereka yang sebahagiannya penganut Islam berkumpul di tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari Masjid Linwood iaitu masjid kedua yang menjadi sasaran pengganas.

Orang ramai yang menahan sebak kelihatan berpelukan sesama sendiri untuk menenangkan emosi sambil melihat kubur mangsa yang sudah siap digali beberapa hari lalu.

Antara yang hadir termasuklah seorang pelarian Afghanistan, Abdul Aziz yang dikenali sebagai wira apabila bertindak berani berdepan dengan pengganas warga Australia itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan nama mereka yang dikebumikan sebaliknya AFP diberitahu hanya dua jenazah mangsa disemadikan.

Setakat ini, dilaporkan hanya enam daripada 50 jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Terdahulu, Perdana Menteri, Jacinda Adern sempat meluangkan masa melawat Sekolah Tinggi Cashmere yang kehilangan dua pelajarnya, Sayyad Milne, 14 dan Hamza Mustafa, 16, selepas ditembak mati bersama bapanya di Masjid Al Noor.

Kejadian pada Jumaat lalu menggemparkan dunia apabila pengganas berusia 28 tahun itu menyerbu masuk dua masjid lalu melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat menyebabkan 50 orang terbunuh.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 8:01 AM