MANGSA cedera akibat dipukul dengan besi. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


“KAMI sekeluarga berharap pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal ke atas individu itu,” kata Nor Shahidah Mohd Khabol, 28, kakak kepada remaja yang cedera dipukul di sebuah masjid di Tanjong Karang, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Adam Sufyan, 17, cedera pada dahi akibat dipukul seorang lelaki berusia 40-an dengan besi kerana dituduh mencuri wang tabung masjid berkenaan.

Kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam yang rata-ratanya mendapat kecaman netizen.

Noor Shahidah berkata, ketika kejadian adiknya yang baru selesai bekerja di sebuah gerai nasi lemak berdekatan dan mahu menunaikan solat Isyak.

“Pada waktu itu, kebetulan pagar utama depan dan belakang masjid berkunci. Jadi adik masuk melalui celah pagar yang sudah rosak dan meletakkan motosikal tidak jauh dari situ.

“Selepas selesai solat dan keluar melalui pagar sama menuju ke motosikalnya, dia ditahan seorang lelaki yang bertanyakan beberapa soalan.

“Lelaki itu kemudian menuduh adik mencuri wang tabung masjid lalu memukulnya menggunakan besi,” katanya.

Menurutnya, pukulan itu mengakibatkan adiknya cedera dan lelaki berkenaan turut bertindak mengambil kunci motosikal.

“Adik kemudian bangun dan menolak motosikal ke arah gerai rakannya bersebelahan sebuah sekolah bagi meminta pertolongan.

“Sewaktu membawa rakannya ke lokasi kejadian, lelaki itu dilihat turut membawa dua rakan lain.

“Secara kebetulan, kunci motosikal milik adik turut berada di lokasi termasuk besi yang digunakan untuk memukulnya. Adik kemudian mengambil kedua-dua barangan itu dan lelaki berkenaan turut memohon maaf atas tindakannya,” katanya memaklumkan laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan lanjut.

Dia berkata, adiknya kemudian dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) dan menerima enam jahitan pada dahinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan menerima laporan berkenaan mengenai kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

“Kita menasihatkan orang awam tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri dan

menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 5:43 PM