NORAZHAR bersama Mohd Shafuan yang dirawat di HKL, semalam.
Redzuan Muharam


“PADA mulanya memang sedih kerana selepas anak, isteri pula sakit tetapi kini saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” kata Norazhar Hussin, 48 yang kini tidak bekerja kerana menjaga anak keduanya, Mohd Shafuan, 20 yang menghidap barah tulang.

Isterinya Salmi Shafie, 48, pula lumpuh sebelah badan sejak November tahun lalu.

Norazhar berkata, buat masa ini, Mohd Shafuan berada di Wad Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kemoterapi siri kedua.

Katanya, rawatan kemoterapi itu dijalankan susulan siri pertama pada Julai hingga November tahun lalu.

“Shafuan disahkan menghidap kanser tulang pada Januari tahun lalu dan ketika itu, doktor mengesyorkannya menjalani rawatan kemoterapi, tetapi saya tidak bersetuju selepas diberitahu tangannya akan dipotong.

“Menurut doktor, tangan anak perlu dipotong kerana bimbang kuman merebak jadi saya akhirnya cuba berikhtiar mendapatkan rawatan tradisional, tetapi ketumbuhan pada belakang badannya jadi semakin membesar.

“Bimbang keadaan bertambah serius, saya bawa Shafuan Ke HKL pada Julai dan selepas rawatan kemoterapi berakhir pada November, ada perubahan positif apabila saiz ketumbuhan semakin mengecil.

“Meskipun belum pulih sepenuhnya saya bersyukur namun tidak lama selepas itu, isteri pula diserang angin ahmar menyebabkan sebelah badannya lumpuh hingga berhenti kerja sebagai pembantu tukang masak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Norazhar, buat masa ini, anak sulungnya, Mohd Nazahairi Hafifi, 24, menjaga isteri dan anak bongsu, Muhd Shamel Ashraf, 14.

Dia tiada pilihan kecuali menjaga Mohd Shafuan di HKL memandangkan keadaan anaknya kritikal dan memerlukan perhatian.

“Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu rakan yang bergilir-gilir menjaga anak.

“Mujurlah dia sudi membantu dan dari segi perbelanjaan pula, saya bersyukur kerana ramai yang prihatin dan memberi sumbangan.

“Tiada apa yang saya harap kecuali diberi kesihatan baik supaya dapat menjaga anak selain berdoa dia sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:01 AM