AKSI Culey selepas menjuarai peringkat pertama saingan Le Tour de Langkawi 2019 dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan, semalam. - FOTO Rosdan Wahid
AKSI Culey selepas menjuarai peringkat pertama saingan Le Tour de Langkawi 2019 dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan, semalam. - FOTO Rosdan Wahid
Azlan Muhammad Zain

‘MAKAN nasi’. Itu antara perkataan sudah dipelajari pelumba pasukan benua tempatan dari Team Sapura Cycling (TSC) dari Australia, Marcus Culey.

Culey yang baru bersama TSC musim ini melakar kejutan apabila berjaya melepaskan diri daripada ‘ditangkap’ kelompok besar pelumba untuk melintasi garisan penamat secara solo bagi peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dengan masa empat jam 20 minit 40 saat.

"Saya cuba belajar bahasa tempatan (Melayu) apabila bersama TSC, masih belum fasih namun akan terus belajar. Saya bimbang akan disalah tafsir, jadi bagi saya masa lagi untuk ditemuramah (dalam bahasa Melayu). Makan nasi antara yang saya boleh sebut.

"Namun sesuatu yang hebat untuk menang pada penampilan pertama di LTdL, terutamanya bersama pasukan dari Malaysia. Ia sesuatu yang bermakna bagi mereka dan saya gembira berjaya membalas kepercayaan diberikan," katanya.

Travis McCabe dari Floyd Pro Cycling meraih tempat kedua manakala pelumba pasukan ProTouch, Clint Hendricks ketiga.

Kejayaan memenangi perlumbaan dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) membolehkan Culey, 26 tahun, menyarung jersi kuning (individu keseluruhan) dan mengumpul 21 mata untuk menyarung jersi hijau (Raja Pecut).

"Menang fokus utama kami adalah memastikan rakan sepasukan, Benjamin Dyball menang jersi kuning namun pada situasi kali ini, saya berpeluang dan perlu memanfaatkannya. Saya mungkin tidak akan berada di kelompok utama pendakian Genting Highlands nanti," katanya.

Jelas Culey yang melakukan pemecahan sejak awal perlumbaan dan ketika mendahului berbaki 20 kilometer dia terus memberi fokus sepenuhnya berkayuh bagi meraih kejayaan tidak pernah difikirkannya.

Rakan sepasukan, Muhammad Zawawi Azman turut mencuri tumpuan apabila muncul pelumba terbaik Malaysia serta menduduki tempat ketiga jersi pelumba terbaik Asia.

Jersi Raja Bukit pula disandang Angus Lyons dari Oliver's Real Food apabila mengumpul 26 mata selepas memenangi tiga zon pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 12:28 PM