GAMBAR terakhir Mohamad Yusof dan Nik Som bersama Harraz sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Mohd Sabran Md Sani


“KURTA kecil ini untuk Aish (cucu) dan Harraz (arwah Harraz Muhd Hafez),” kata Nik Som Idrus, 62, nenek kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu menerusi aplikasi WhatsApp dihantar dari Makkah petang kelmarin.

Nik Som yang mengerjakan umrah bersama suaminya, Mohamad Yusof, 70, mengirimkan gambar baju dua cucu lelakinya yang baru dibeli di Makkah.

Bagaimanapun pemergian arwah Harraz tidak langsung diketahui suami isteri itu berikutan perkara itu dirahsiakan kerana tidak mahu ibadah di Tanah Suci terganggu.

Bapa saudara Harraz, Mohd Raihan Mohamad, 34, berkata, dia berasa sayu menerima pesanan WhatsApp dikirimkan ibunya pada jam 1.37 tengah hari kelmarin.

“Kebetulan hari ini (semalam), hari kelima emak di sana dan berkongsi gambar pakaian dibeli untuk dua cucunya iaitu untuk anak saya, Mohd Aisy Aizzar Mohd Raihan, empat bulan dan arwah Harraz.

“Ibu sangat teruja menghantarkan gambar jubah kecil untuk kedua-dua cucunya itu, namun tidak mengetahui Harraz sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA petang semalam.


KIRIMAN foto kurta yang dibeli di Makkah untuk Harraz dan Aish.

Berkongsi kesedihan, ibu saudaranya, Raihanah Mohamad, 39, berkata, dia mengetahui kematian anak saudaranya itu pada jam 4 petang kelmarin.

“Saya bersama suami dan kedua ibu bapa ipar, Najiah Rosminahar, 29, bergerak ke Johor pada jam 5 petang dan tiba pada jam 10 malam.

“Kami kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan ke bilik mayat HSA untuk melihat proses bedah siasat,” katanya yang juga seorang guru.

Katanya, kehilangan anak saudaranya sangat dirasai lebih-lebih lagi iparnya menjalani fasa berpantang di Kuantan, Pahang.

“Ketika Harraz di kampung saya selalu berulang-alik ke rumah neneknya di Kuantan. Sebab itu pemergiannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu suasana pilu menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik HSA apabila jenazah Harraz dibawa keluar bilik berkenaan untuk dibawa pulang.

Harraz terpaksa dipangku Mohd Raihan selepas bapa bayi itu mengakui tidak kuat (lemah semangat) untuk memangku anaknya itu.

Bayi terbabit yang selesai dimandi, dikafankan dan disembahyangkan menaiki kenderaan bersama ahli keluarga untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, Kuantan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:20 AM