Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menerima dua laporan berhubung penemuan ratusan karung beg mengandungi kertas undi Pilihan Raya Umum pemilihan presiden Indonesia di Kajang Utama, Kajang, hari ini.

Sumber berkata, laporan dibuat dua individu iaitu seorang lelaki warga Indonesia dari Badan Pemenangan untuk calon nombor (02) Probowo-Sandi dan Panitia Pengawas Pilihan Raya Umum Luar Negeri Kuala Lumpur.

“Individu pertama dalam laporannya menyatakan pihaknya menemui kertas undi dalam 157 karung dan plastik hitam dalam sebuah rumah kedai.

“Sebelum itu, lelaki terbabit dan rakannya menerima maklumat berhubung kertas undi sudah ditanda disimpan dalam sebuah kedai di Kajang Utama, Kajang.

“Hasil pemeriksaan, mereka menemui kertas undi sudah dicucuk dahulu (ditanda) tanpa pengetahuan pengundi sebenar, namun jumlah kertas undi ditemui masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, individu kedua pula menyatakan menemui 20 karung beg diplomatik, 10 karung beg hitam dan lima karung beg putih tulisan Pos Malaysia yang mengandungi kertas undi pos Pilihan Raya Umum Indonesia.

Difahamkan dua laporan berkenaan dibuat untuk dijadikan bukti berlakunya penyalahgunaan dalam kertas undi untuk pemilihan calon presiden dan wakil presiden.

Pada 17 April ini, Pilihan Raya Umum bagi menentukan calon presiden dan naib presiden akan diadakan di Indonesia dengan calon nombor (01) ialah Presiden Indonesia sekarang, iaitu Joko Widodo (Jokowi) dan akan digandingkan dengan Maaruf Amin.

Mereka akan menentang dengan calon (02) diwakili Prabowo Subianto, sebagai calon presiden, dan digandingkan dengan Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:56 PM
RATUSAN karung beg mengandungi kertas undi Pilihan Raya Umum pemilihan Presiden Indonesia yang sudah ditanda di rumah kedai di Kajang Utama, Kajang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.