MUHAMMAD Rezfan Shauqi Mohd Fazli, 12 bulan, dipangku bapanya, Mohd Fazli Mohd Radzuan, 35, yang memerlukan cermin mata berkuasa 700 disebabkan penglihatannya yang kabur sejak lahir akibat mempunyai beberapa penyakit termasuk jantung, tiada lubang dubur dan sindrom down. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEJAK dilahirkan, Muhammad Rezfan Shauqi Mohd Fazli, 12 bulan, tidak mempunyai lubang dubur malah dia juga mempunyai beberapa penyakit lain termasuk sindrom down, jantung di bahagian kanan yang agak besar, tiroid dan gastrik.

Lebih menyedihkan, penglihatan matanya juga kabur sehingga terpaksa memakai cermin mata khas mempunyai kuasa 700 seperti yang disarankan doktor selepas menjalani pembedahan sebelum ini.

Menurut bapanya, kata Mohd Fazli Mohd Radzuan, 35, bahagian perut sebelah kiri anak bongsu dari empat beradik itu terpaksa ditebuk di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ketika dilahirkan untuk membolehkan dia membuang najis setiap hari.

Katanya, bahagian itu perlu dibersihkan dengan baik dan ditutup dengan lampin pakai yang diletakkan dengan pelekat untuk memastikan kebersihan dan tiada kuman.

“Anak saya cuma minum susu formula khas yang disarankan doktor untuk membantu penghadamannya kerana dia tidak mampu menjamah makanan lain.

“Namun, satu tin susu itu hanya mampu bertahan tiga hari dan harganya agak mahal, namun saya beli juga kerana ia satu keperluan utama buat anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Mas, di Yan, semalam.

Mohd Fazli hanya menjalankan perniagaan menjual burger di hadapan rumah dengan pendapatan tidak menentu manakala isterinya, Zuraidah Azlinda Mehat, 35, bekerja sebagai guru agama (KAFA) di sekolah di kawasan Yan.

Katanya, anaknya memperoleh bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan sebanyak RM350, namun tidak cukup untuk menampung kos ulang alik ke tiga hospital.

“Sebelum ini, anak saya perlu dirujuk di Hospital Kuala Lumpur dan rawatannya di sana sudah habis, manakala Hospital Pulau Pinang (HPP) pula sebulan sekali dan HSB pula dua minggu sekali.

“Selain itu, saya perlu membeli saluran tiub untuk menyalurkan susu ke dalam mulutnya yang perlu ditukar setiap hari untuk mengelakkan jangkitan kuman,” katanya.

Mohd Fazli berkata, selain itu dua daripada tiga anaknya yang berusia 13 dan tujuh tahun masih bersekolah selain seorang lagi anak berusia tiga tahun dan kesemuanya lelaki.

Katanya, setiap hari dia yang menguruskan anak-anaknya termasuk Muhammad Rezfan ketika isterinya keluar mengajar.

“Mujur Muhammad Rezfan tak banyak meragam dan dia lebih suka bermain.

“Ini satu ujian untuk kami sekeluarga menjaga anak dalam keadaan ini, namun kami bersyukur melihatnya sihat dan aktif setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Zuraidah Azlinda 0213829000035611 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi talian 014-6781582 (Mohd Fazli) atau 016-9082423 (Zuraidah).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 9:52 AM