DARI kiri: Tomo, Toru, Taka dan Ryota.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

DALAM kalangan band rock berpengaruh di seluruh dunia sekarang, One Ok Rock (OOR) antara yang paling atas.

Ketika muzik pop terus menguasai pasaran terkini, band itu tetap teguh memperjuangkan genre berkenaan.

OOR yang berasal dari Jepun dianggotai Taka Moriuchi selaku penyanyi utama, Toru Yamashita (gitar dan penyanyi), Ryota Kohama (bass) dan Tomoya Kanki (dram) semakin kukuh di Amerika Syarikat (AS) serta Jepun.

Bagaimanapun, mereka tidak menafikan terbit kebimbangan mengenai situasi muzik rock pada era ini.

Dalam temu bual bersama RAP di Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka me­ngakui penerimaan genre itu tidak lagi luar biasa berbanding sebelum ini terutama dalam industri muzik AS.

Sehubungan itu, OOR mahu membawa misi besar untuk mengembalikan kegemilangan serta memartabatkan semula muzik rock.

Walaupun tidak mudah, Taka percaya lambat-laun mereka mampu menarik perhatian pendengar untuk mencintai muzik berkenaan.

“Di Amerika, saya rasa muzik rock semakin mati. Band rock masih hidup tetapi lagu mereka tidak mungkin berjaya menakluk carta muzik yang lebih ba­nyak dikuasai lagu pop.

“Impian kami untuk menjadikan muzik rock bernyawa semula di seluruh dunia. Kami mahu pende­ngar yang tidak meminati muzik ini menjadi peminat muzik rock. Namun di Jepun, band rock masih besar dan tetap laris membuat persembahan. Itulah perbezaan utama yang kami lihat mengenai industri rock di AS dan Jepun secara keseluruhan,” katanya.


TAMPIL dengan album baru berjudul Eye of the Storm.

Jika mendengar secara keseluruhan lagu dalam album terbaharu mereka berjudul Eye of the Storm, jelas bunyi rock diadun dengan elemen pop dalam susunan muzik mereka. Malah, ada lagu yang hampir kedengaran seperti pop sepenuhnya.

Menjelaskan perkara itu, Taka berkata, mereka perlu tampil dengan pembaharuan dalam berkarya bagi kekal relevan.

Disebabkan itu, OOR menyahut cabaran gabung­kan elemen pop dan rock dalam album terbaharunya.

“Jujur saya takut muzik rock semakin mati di Amerika. Ini disebabkan, setiap kali rakam album, kami berdepan keputusan sukar dengan pengurusan.

“Mereka tidak menghalang kami membuat album rock sepenuhnya, tetapi berterus terang bahawa jualannya mungkin tidak banyak. Kami diminta belajar menggabungkan muzik pop dan rock jika mahukan karya kami lebih berhasil.

“Saya selalu berpendapat, kami cuma mahu hasilkan muzik rock dan bukannya pop. Akan tetapi, hakikatnya kami perlu mempelajari untuk menerima muzik pop terutama dalam generasi sekarang,” katanya.

Demi membawa muzik mereka ke tahap lebih tinggi, OOR juga perlu sentiasa keluar daripada zon selesa. Menurut Taka, itulah sebabnya mereka memilih bekerjasama dengan pemuzik Barat berbanding rakan artis di Jepun.

Taka tidak menafikan mereka sudah cukup arif mengenai industri muzik di Jepun. Lantas, mereka tidak mahu terperangkap dalam takuk muzik tempatan saja.

“Kami sudah betul-betul kenal bagaimana situasi muzik rock dan industri muzik secara keseluruhannya di Jepun. Namun, sebaliknya di negara lain apabila kami sendiri tidak arif budaya muzik mereka.


IMPIKAN muzik rock kembali bernyawa di seluruh dunia.

“Bayangkan, apabila kami ke Amerika Syarikat, pemuzik di sana tidak kenal kami. Kami juga tidak tahu bagaimana corak kerja pemuzik di sana apabila bekerja dengan mereka. Bagaimanapun, itulah sebenarnya cabaran terbaik buat kami,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Taka mengakui mereka rasa terlalu selesa jika bekerja dengan rakan artis sendiri.

“Berbanding bekerja dengan pemuzik di Jepun, prosesnya jauh lebih mudah memandangkan kami sangat faham budaya kerja muzik di negara kami. Kami tidak mahu terus berada di tahap itu dan sentiasa mencari peluang bekerja dengan pemuzik setaraf tahap kami sekarang.

“Prosesnya jauh lebih menyeronokkan apabila bekerja dengan pemuzik yang jauh ke depan kerana kami pun mahu sentiasa maju,” katanya.

Pernah bertandang ke Malaysia pada 2013 sewaktu menjayakan konsert sendiri, OOR bagaimanapun seakan-akan tidak menjadikan negara ini tempat persinggahan selepas itu walaupun peminat mereka ramai di sini.

Bercerita mengenai perkara itu, Taka berkata, mereka tidak berniat langsung untuk menyisihkan peminat Malaysia, sebalik­nya segala keputusan untuk lokasi yang dikunjungi ditetapkan pengurusan dan mereka perlu akur.

“Kami sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa syarikat yang membawa kami tak singgah di Malaysia. Tidak dinafikan, konsert yang lalu sangat menyeronokkan dan gembira dapat datang ke sini kembali.

“Ikutkan hati, kami memang nak sangat kembali ke sini untuk mengadakan konsert sendiri. Namun, kami tiada hak untuk campur tangan dalam membuat keputusan itu. Bagaimanapun, kami pasti berbesar hati untuk dapat peluang itu suatu hari nanti,” katanya.

OOR bertandang ke Malaysia baru-baru ini sebagai artis jemputan untuk konsert penyanyi dari Britain iaitu Ed Sheeran.


BERBESAR hati untuk kembali jayakan konsert sendiri di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:30 AM