REMAJA perempuan parah manakala teman lelakinya cedera ringan. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan


TAKUT hubungan terlarang diketahui keluarga, sepasang remaja nekad terjun dari tingkat tiga parkir kereta di Pangsapuri Sri Saujana, Lebuh Maccalum, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, remaja perempuan berusia 14 tahun parah selepas patah pinggang dan kaki manakala teman lelakinya pula hanya cedera ringan.

Difahamkan, remaja perempuan terbabit terjun di jalan raya manakala teman lelakinya pula terjun di atas pokok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.07 pagi yang memaklumkan mengenai kes ada orang terjatuh di pangsapuri terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua mangsa mendakwa mereka tergelincir ketika sedang meniti di tepi tembok pangsapuri berkenaan untuk keluar dari kawasan parkir.

“Mereka mendakwa terpaksa meniti di tembok untuk keluar kerana pintu di kawasan parkir sudah dikunci pengawal keselamatan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Che Zaimani berkata, temubual bersama keluarga remaja perempuan itu mendapati ibu bapanya memberitahu yang pasangan terbabit sebenarnya bimbang aktiviti tidak sihat mereka diketahui.

“Akibat takut, mereka sanggup terjun dari tingkat tiga kerana gagal membuka pintu laluan ke parkir.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti motif kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:39 PM