AZAM Baki. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Husni Mohd Noor dan Shamsul Munir Safini

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wang rasuah terkumpul membabitkan penahanan 46 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sejak Selasa lalu, termasuk 22 orang lagi semalam, mencecah lebih RM140,000.

Sumber SPRM berkata, semua 22 pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 yang baru ditahan semalam, dipercayai menerima bayaran bulanan RM10,000 sebulan.

Beliau berkata, sejak Selasa sehingga semalam, seramai 46 pegawai JPJ ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka lebih ramai akan ditahan.

Menurutnya, semua 22 lelaki berusia antara 32 hingga 55 tahun ditahan semalam, di Pejabat SPRM negeri antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang selepas hadir bagi diambil keterangan jam 8 pagi.

Sumber berkata, penahanan 22 lelaki terbabit adalah fasa kedua siasatan SPRM dalam kes lori kebal yang mana semua 46 penjawat awam itu melindungi lori tanah lebih muatan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ yang ditahan Selasa lalu dibebaskan semalam dengan jaminan.

“Hanya seorang daripada mereka masih belum dibebaskan kerana siastan terhadapnya belum selesai.

“Saya sahkan kami menahan 22 lagi penguat kuasa JPJ untuk membantu siasatan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Katanya, 22 pegawai JPJ yang baru ditahan, semalam akan direman di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Rabu lalu, 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Georgetown sebelum 22 lagi ditahan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:30 AM