PU Abu Sufyan mencetuskan kontroversi kerana menceraikan isterinya ketika hamil tujuh bulan.
PU Abu Sufyan mencetuskan kontroversi kerana menceraikan isterinya ketika hamil tujuh bulan.
Syafil Syazwan Jefri


BEKAS peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, atau PU Abu hari ini membuat permohonan maaf menerusi Instagram atas tindakannya menceraikan isteri, Ain Afini yang sedang sarat mengandung untuk berkahwin dengan seorang janda.

Abu yang juga pendakwah dan penceramah bebas itu turut memohon maaf kepada keluarga mentuanya.

"Saya, PU Abu @ Muhammad Abu Sufyan bin Mohd Mokhtar Rozaidi memohon maaf di atas kesalahan saya menceraikan isteri saya ketika mengandung dan saya amat menyesal atas keterlanjuran yang saya lakukan.

"Saya meminta maaf kepada bekas isteri saya @ainafini dan keluarga kerana berlaku sikap tidak adil terhadap mereka," tulisnya.


Abu juga berharap supaya dirinya menerima balasan setimpal atas tindakannya.

"Moga saya mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang saya lakukan," katanya.

Abu juga meminta netizen berhenti menulis kecaman kepada mereka yang tidak berkenaan dan dia juga akan berbincang dengan bekas isteri berhubung tindakannya itu.

"Saya harap netizen berhenti mengecam pihak yang tidak terbabit secara langsung atau pun tidak langsung. Saya akan berbincang dengan pihak bekas isteri saya untuk hal yang selanjutnya. Doakan semuanya dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Bagaimanapun, Abu bertindak memadam status berkenaan beberapa jam selepas ia dimuat naik.

Terdahulu, dalam perkongsian menerusi Instagram Ain yang kini hamil tujuh bulan, talak itu dilafazkan Abu menerusi WhatsApp pada 13 Mac lalu kerana Ain tidak bersetuju dengan permintaan Abu untuk berpoligami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:23 PM