KLFA akan buat rayuan berkaitan pemotongan geran tahunan. -Foto NURUL SHAFINA JEMENON
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) melabel tindakan pemotongan 50 peratus geran tahunan ke atas tujuh pasukan yang diputuskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Pengurus The City Boys, Mohamad Hamidi Abu Bakar ketika dihubungi pantas menganggap tindakan berkenaan sebagai satu penganiayaan terhadap pasukan.

“Ini semua kerja gila,” kata Hamidi ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

“Mana boleh suka hati ambil tindakan potong geran kerana ia jelas menganiaya pasukan malah lebih buruk lagi mereka turut sekat kami daripada beli pemain baharu.

“Ini keputusan yang tidak bagus kerana kami sedang berdepan masalah dengan pemain import.

“KLFA akan buat rayuan berkaitan perkara ini dan pada masa berbincang untuk mengupah peguam bagi memastikan hak kami terjamin.

“Sebelum ini, mereka (MFL) janji nak bayar duit geran pada Mac. Selepas itu tangguh dan akhirnya dipotong pula 50 peratus daripada RM3 juta yang sepatutnya kami terima.”

Semalam, MFL menerusi kenyataannya mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 berikutan kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah Kuala Lumpur, FELDA United, Melaka, Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang.

Lebih malang lagi, lima daripada pasukan berkenaan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan sekatan membeli pemain baharu ketika jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan.

Hamidi berkata, hukuman berkenaan seolah-olah mahu menjatuhkan The City Boys yang baharu saja mendapatkan rentak kemenangan selepas mengharungi perlawanan sukar sebelum ini.

Beliau berkata, segala perancangan KLFA untuk mengambil pemain import baharu menjelang jendela perpindahan kedua pada 5 Mei depan turut terencat dengan pengumuman berkenaan.

“Pembelian pemain baharu sangat penting untuk pasukan memandangkan Kuala Lumpur sekarang ini berdepan masalah kekurangan pemain import. Kami sudah rancang untuk beli pemain namun dikenakan hukuman sekatan pula sekali gus menyebabkan pasukan tempang atau mungkin melalui keadaan yang sukar nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:30 AM