NAJIB hadir bagi menghadapi perbicaraan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Murni Wan Omar


UMNO Pulau Pinang mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa ia ada menerima cek bernilai RM1 juta sebagai sumbangan daripada ibu pejabat Umno Malaysia pada 2015.

Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian Pulau Pinang, Ahmad Sahar Shuib berkata, ia selepas pihaknya menulis surat bagi memohon sumbangan RM2 juta daripada parti.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam prosiding kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Untuk dapat sumbangan daripada Umno Malaysia. Macam mana pihak kamu minta?

SAHAR: Umno Pulau Pinang perlu memohon kepada ibu pejabat.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Dengan cara apa?

SAHAR: Dengan surat permohonan.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Surat permohonan itu siapa yang tandatangan?

SAHAR: Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Bila Datuk Zainal Abidin Osman meninggal dunia?

SAHAR: Ogos 2018.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Surat permohonan siapa yang sediakan?

SAHAR: Saya sediakan draf dan serahkan kepada Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Selepas serah, ada jadi dengan surat itu?

SAHAR: Selalu kalau ada pembetulan, Datuk Seri Zainal akan betulkan dan kemudian beliau cetak dan serahkan kepada Datuk Seri Najib Razak iaitu Presiden Umno pada masa itu.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Ada dapat sumbangan pada 2015?

SAHAR: Ya.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Berapa dapat?

SAHAR: RM1 juta.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah yang mewakili Najib, Ahmad Sahar berkata, sudah menjadi kelaziman bagi pihaknya meminta sumbangan daripada ibu pejabat Umno Malaysia.

Beliau berkata, ia sudah lama diamalkan sebelum Najib menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri dan pucuk pimpinan parti terdahulu.

Selain itu, Ahmad Sahar berkata, Umno Pulau Pinang hanya bergantung kepada ibu pejabat Umno Malaysia untuk mendapat sumbangan dan bukan melalui sumber lain.

MUHAMMAD SHAFEE: Sekarang nak tanya. RM1 juta itu.. bagaimana ia digunakan?

SAHAR: Ia digunakan untuk pembayaran gaji kakitangan dan salurkan kepada bahagian termasuk program kebajikan... bantuan kepada mangsa bencana termasuk mangsa banjir.

MUHAMMAD SHAFEE: Kebajikan itu siapa?

SAHAR: Orang susah, mangsa bencana alam kerana di Pulau Pinang selalu berlaku banjir.... dan anak yatim.

MUHAMMAD SHAFEE: Jadi Umno Pulau Pinang banyak buat bantuan.

SAHAR: Ya.

MUHAMMAD SHAFEE: Daripada segi keagamaan?

SAHAR: Termasuk bulan puasa.. buat bantuan program-program di masjid.

MUHAMMAD SHAFEE: Ada program khas untuk pendidikan?

SAHAR: Untuk pelajar cemerlang.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:30 AM