BUKTI dan kertas siasatan dibawa masuk ke bilik prosiding ketika sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.
Hairulazim Mahmud


SEORANG pegawai polis membuat pendedahan mengejutkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) apabila memaklumkan bahawa beliau diarahkan oleh ketuanya supaya menghentikan siasatan selepas penemuan kem dan kubur di Bukit Burma, Wang Kelian.

Asisten Superitendan Junaidi Md Saad yang juga saksi kesebelas berkata, arahan berkenaan adalah daripada Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar.

“Saya mendapat arahan supaya tidak melanjutkan siasatan daripada KPD Padang Besar pada 8 Mac 2015,” katanya kepada panel RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis yang memasuki hari kelima di sini, semalam.

Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali RCI, Khairul Anuar Abd Halim mengenai tindakan selanjutnya selepas pasukannya naik ke Bukit Burma.

Menurutnya, pasukannya bersama anggota forensik naik ke atas Bukit Burma pada 6 Mac 2015 berdasarkan Kertas Enkuari Polis (KEP) pada 23 Januari 2015.

“Arahan kepada kami, untuk memastikan sama ada (terdapat) mayat atau tidak di dalam struktur seperti kubur yang ada di kem itu.

“Terdapat 35 struktur tanah seperti kubur di situ. Selepas menggali satu struktur tanah terbabit dan menemui tulang mayat, kami kambus semula dan pulang,” katanya.

Junaidi yang ketika itu adalah Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar berkata, pada 8 Mac 2015, KPD Padang Besar sekali lagi memberikan arahan supaya dibuka kertas siasatan kematian mengejut (SDR).

Beliau memaklumkan turut menjadi pegawai penyiasat bagi kes SDR itu.


JUNAIDI

Khairul Anuar kemudian bertanya sama ada kertas SDR itu hanya untuk rangka mayat yang ditemui dari sebuah kubur dua hari sebelum itu, Junaidi mengesahkan ia hanya untuk satu rangka mayat yang ditemui.

Junaidi yang kini Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Pendang, Kedah berkata, beliau kemudian memaklumkan diberikan arahan selanjutnya supaya tidak meneruskan siasatan lanjut berkaitan penemuan itu.

Sesi Pendengaran Awam RCI berkenaan, semalam dijadualkan mendengar keterangan daripada empat saksi.

Diadakan di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini yang bermula Rabu lalu, seramai 10 saksi tampil memberi keterangan di hadapan tujuh panel RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria selaku pengerusi manakala bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sebagai timbalan pengerusi.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu, ahli RCI lain ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Penubuhannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu, RCI itu antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

KHAIRUL ANUAR: Selepas naik buat tinjauan pada 23 Januari apa yang dibuat terhadap KEP itu?

JUNAIDI: Saya ada naik lagi ke tempat kejadian pada bulan tiga (Mac).

KHAIRUL ANUAR: Jadi tempoh dari Januari hingga Mac tiada buat apa?

JUNAIDI: Tiada.

KHAIRUL ANUAR: Ada buat apa-apa atas inisiatif sendiri?

JUNAIDI: Saya percaya ini kes besar dan saya perlu menunggu arahan untuk buat apa-apa tindakan sehingga pada 6 Mac 2015.

KHAIRUL ANUAR: Apa yang berlaku pada 6 Mac?

JUNAIDI: Saya bersama forensik dan Cawangan Khas dan KPD sendiri naik ke tempat kejadian dan taklimat yang diberikan ialah misi untuk menggali satu struktur tanah seperti kubur untuk pastikan ada mayat atau tidak.

Selepas melihat rangka dipercayai milik manusia selepas dibuka kapan apabila forensik menggali kubur, kami kambus semula selepas diambil gambar. Itu misi yang saya terima arahan untuk hari itu.

TAN: Kenapa tunggu dua bulan untuk bertindak selepas laporan dibuat?

JUNAIDI: Apa yang saya buat seperti tinjauan, saya melihat ini adalah kes berskala besar dan ini perlukan pasukan besar dan saya tidak berani ambil tindakan sewenang-wenangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:00 AM