SUFIAN nafi lagu terbarunya Mencuba ada kaitan kisah peribadi. FOTO: Salhani Ibrahim
SUFIAN nafi lagu terbarunya Mencuba ada kaitan kisah peribadi. FOTO: Salhani Ibrahim
Ardini Sophia Sina

Kenangan lalu seolah-olah menghantui perjalanan seni Sufian Suhaimi. Walaupun berulang kali menegaskan lagu dendangannya tidak ada kaitan dengan kisah peribadi, ramai menganggap sebaliknya.

Selepas lagu Dimata Mu, kini lagu baharunya berjudul Mencuba turut mengundang cakap-cakap orang bahawa dia belum dapat melupakan bekas kekasih dan tidak kurang juga beranggapan Sufian cuba menyampaikan mesej yang terpendam di lubuk hatinya.

Sekali lagi, Sufian menegaskan bahawa karya itu bukanlah mengenai kehidupan peribadi. Melihat situasi itu, dia sendiri tidak tahu sampai bila umum akan terus mengaitkan lagu dengan episod lara yang pernah melanda hidupnya.

Bagaimanapun, Sufian tidak kisah dengan tanggapan umum. Dia juga tidak menyalahkan peminat andai mereka terus-menerus mengaitkan lagunya dengan memori silam.

“Saya sendiri tidak tahu sampai bila mereka akan kaitkan lagu saya dengan kisah lalu. Ada yang kata saya belum ‘move on’ dan ada juga kata masih ada sesuatu yang ingin saya sampaikan.

“Bagaimanapun, lagu baharu saya tidak ada kaitan dengan cerita lama malahan menyimpang jauh daripada kehidupan peribadi. Namun, kalau masih ada yang anggap lagu ini ada kaitan dengan cerita lama, saya tidak ambil pusing dan tidak menyalahkan mereka.

“Berulang kali saya jelaskan pun mereka enggan percaya. Itu hak mereka. Saya buat lagu secara bebas, tidak terikat pun dengan perjalanan hidup,” katanya.

Kata Sufian lagi, paparan jalan cerita pada video serta lirik lagu Mencuba sebenarnya dekat di hati semua individu. Namun, umum lebih tertumpu pada satu babak iaitu membabitkan helikopter dan terus membuat pelbagai tanggapan.

Diusik mungkin dia perlu mencari teman wanita atau berkahwin bagi menamatkan spekulasi berkenaan, Sufian berkata, keutamaannya adalah keluarga dan kerjaya buat masa ini.

“Ramai yang suruh saya cari teman wanita. Keluarga juga begitu. Walaupun kedengaran klise, fokus saya kini adalah keluarga dan bina karier.

“Saya tidak terdesak dan tergesa-gesa pun untuk menamatkan zaman bujang. Sementara masih bujang, biarlah tumpuan saya hanya terhadap dua perkara itu sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, penyanyi itu menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai video muzik kategori lagu Melayu dan artis tempatan di YouTube dengan jumlah tontonan paling ramai iaitu lebih 56 juta kali, sekali gus menewaskan Aiman Tino.

Bersyukur dengan pencapaian itu, dia langsung tidak menjangkakan ia berlaku tambahan pula ramai lagi nama besar yang lebih layak berada dalam senarai Malaysia Books of Records.

Sufian berterima kasih atas sokongan yang diberikan keluarga, orang sekeliling, komposer serta peminat yang banyak memberikan sokongan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan berkenaan.

“Saya tidak pernah bandingkan apa yang saya dapat dengan orang lain kerana setiap individu punya kejayaan tersendiri. Lain orang lain rezeki.

“Mungkin orang nampak saya yang baru tiga tahun dalam industri dan mempertikaikan pengiktirafan ini. Bagaimanapun, setiap orang ada cabaran sendiri dan masing-masing ada ganjaran,” katanya.

SUFIAN rancang lancar buku puisi.
SUFIAN rancang lancar buku puisi.

RANCANG LANCAR BUKU PUISI

Turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Sufian bakal tampil dengan buku himpunan puisi hasil tulisannya sendiri. Menurut Sufian, dia mula menulis sejak menuntut di universiti.

“Setiap hari akan ada emosi berbeza dan ia ditulis berdasarkan ‘mood’ saya pada ketika itu. Buku ini menghimpunkan puisi yang saya tulis dari tahun pertama bergelar mahasiswa.

“Ia bukanlah kompilasi kapsyen di Instagram atau status di Twitter. Saya ingin hasilkan sebuah buku puisi yang mempunyai ciri hiburan namun masih boleh dijadikan bahan ilmiah.

“Bagi menghasilkan buku ini, saya berkolaborasi dengan salah sebuah universiti tempatan dan mempunyai pasukan ‘proof reader’ yang akan terlebih dahulu memeriksa puisi itu demi menjaga kualitinya,” kata Sufian.

Perkembangan lain, Sufian bakal tampil dalam drama tiga episod serta sebuah telefilem yang dijangka menemui penonton Ramadan atau Syawal ini nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:00 AM