KHAIRUL Hafiz Jantan
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Ketika atlet pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri sudah jauh ke depan dengan catatan masa lebih pantas, kemampuan pelari harapan negara Khairul Hafiz Jantan masih belum teruji tahun ini.

Bagaimanapun, sesuatu sudah dirancang buat pelari kelahiran Melaka itu agar dia dapat mempertahankan emas dimenangi di Sukan SEA dua tahun lalu di Filipina kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya kini sedang merangka strategi membentuk fizikal pelari yang dikenali dengan jolokan The Speedy Jantan itu.

Kata Faedzal, satu projek khas dibuat untuk Khairul Hafiz iaitu membentuk fizikal dan ototnya agar lebih mantap.

“Kami di ISN sedang membantu dia untuk membina fizikal. Mungkin pendekatan baru ini boleh melonjakkan prestasi dia untuk lebih baik. Dalam acara pecut, badan dan otot yang lebih tegap diperlukan untuk melangkah lebih pantas. ISN akan bantu Khairul Hafiz bentuk fizikal kerana dia memang dilahirkan sebagai atlet pecut,” katanya.

Faedzal berkata, ketika ini Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s itu dalam proses pemulihan dan menjalani sesi bersama pakar fisiologi.

Peluang Khairul Hafiz mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) pada Sukan SEA, Filipina hujung tahun ini tampak semakin sukar berdasarkan konsistensi dilakarkan Lalu.

Lalu yang juga juara remaja dunia mencatatkan 10.13s ketika memenangi pingat perak pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar.

Sebelum itu pada aksi separuh akhir, Lalu membuktikan dia antara berpotensi memenangi pingat apabila mencatatkan kepantasan 10.15s.

Khairul Hafiz dan Lalu pernah berkongsi kepantasan 10.18s ketika jaguh dari Indonesia itu muncul juara remaja dunia pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Tampere, Finland 2018.

Lalu juga mempamerkan kehebatan ketika berkunjung ke Malaysia apabila menjuarai Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia bulan lalu dengan catatan 10.20s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:30 AM