Mohd Azam Shah Yaacob


SEORANG lelaki berlagak samseng jalanan apabila menampar dan menumbuk seorang pemandu wanita berikutan salah faham dalam kejadian dipercayai berlaku di Taman Keramat, Kuala Lumpur, tengah hari ini.

Dalam kejadian berkenaan, lelaki berkenaan yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dilihat melempang serta menumbuk wanita terbabit sebanyak dua kali.

Malah, video kejadian berkenaan yang berdurasi 34 saat dirakam seorang pengguna jalan raya lain turut tular di media sosial.

Menerusi rakaman berkenaan, lelaki itu melempang wanita terbabit menggunakan tangan kanan pada bahagian muka sebelah kiri sebelum cuba dihalang seorang pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, tindakan ganas lelaki itu tidak terhenti di situ apabila dia sekali lagi dilihat menumbuk muka wanita itu menggunakan tangan kiri sebelum dihalang tiga lelaki lain yang berada di lokasi kejadian.

Dalam video tular itu, lelaki itu turut menjerit "kau duduk sebelah kiri kalau aku jalan terus... kau nak aku mampus ke yang kau tak bagi singal (lampu isyarat)".

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca serta kesudahan kejadian itu berikutan rakaman video berkenaan tidak merakam keseluruhan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:48 PM
VIDEO kejadian lelaki menampar dan menumbuk seorang pemandu wanita di Taman Keramat, Kuala Lumpur, dipercayai berlaku tengah hari tadi, tular di media sosial.