SITI Kharina gagal dikesan sejak Rabu lalu. FOTO Ihsan Pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Noor Atiqah Sulaiman


MAYAT wanita dipercayai dibunuh ditemui di sebuah rumah sewa di Cyberjaya, petang semalam.

Difahamkan mayat terbabit dikaitkan dengan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu.

Sumber berkata, mayat ditemui pemilik rumah berkenaan selepas dia datang ke kediaman terbabit untuk melakukan pemeriksaan apabila penyewanya gagal dihubungi sejak seminggu lalu.

“Mayat itu ditemui dalam keadaan reput dipercayai sudah meninggal dunia sejak seminggu lalu selain terdapat kesan kelar pada leher mangsa.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan.

"Kami menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita itu, petang semalam. Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa sama ada mempunyai kaitan dengan jururawat yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Keluarga jururawat terbabit juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu (penemuan mayat wanita) dan mereka akan dipanggil untuk melakukan pengecaman," katanya.

Berita berkaitan

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:22 PM