Iskandar Shah Mohamed


LELAKI Nigeria yang diburu bagi membantu siasatan kes bunuh jururawat Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, ditahan polis di Cheras Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang mengesahkan perkara itu berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu diberkas kira-kira 3 petang.

“Penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dibuat kerana lelaki itu dipercayai sudah mengetahui dirinya dicari polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kata Fadzil, lelaki asing itu dibawa ke IPK Selangor untuk tindakan lanjut.

“Kita akan mendapatkan kebenaran reman ke atasnya bersama dua suspek lain di mahkamah esok,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin memaklumkan identiti lelaki itu diperoleh hasil penahanan seorang lelaki Pakistan dan wanita Nigeria berusia 38 dan 35 tahun, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek yang juga rakan perniagaan telefon bimbit itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

Penahanan itu dibuat hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kondominium disewa mangsa.


KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan gambar suspek warga Nigeria yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes jururawat. FOTO Faiz Anuar

Siasatan awal polis mendapati mayat Siti Kharina yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu itu ditemui dalam unit kondominium di Cyberjaya, pada 2.30 petang semalam dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat atau lima hari lalu dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Siti Kharina yang dikatakan sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja.

Berita berkaitan

'Arwah Siti Kharina sangat baik'

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 8:18 PM