SINDIKET palsu minyak enjin kenderaan, minyak kotak gear jenama tumpas, rampasan bernilai RM2 juta. FOTO: Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SERDANG: Kaut untung berjuta ringgit setahun melalui kegiatan memalsukan hampir semua jenis minyak enjin kenderaan dan minyak kotak gear jenama terkemuka sebelum diedarkan ke seluruh negara. Malah, sindiket dikesan menambah jumlah penghasilan produk palsu itu berikutan menyedari peningkatan permintaan pengguna untuk menyelenggara kenderaan sebelum pulang ke kampung untuk Aidilfitri.

Aktiviti menjual minyak enjin palsu itu dipercayai menjadi punca beribu kenderaan mengalami kerosakan selain aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada pengguna.

Bagaimanapun, penipuan licik dilakukan itu dibongkar KPDNHEP Putrajaya sebelum serbuan mengejut dilakukan jam 12 tengah hari semalam dengan nilai rampasan lebih RM2 juta.

Timbalan Pengarah (Operasi Khas) Penguat Kuasa KPDNHEP Rosli Ahmad berkata, serbuan dilakukan serentak di dua rumah di Kajang, Selangor dan sebuah kilang di sini oleh sepasukan Unit Operasi KPDNHEP.

Menurutnya, dalam serbuan di kilang tiga tingkat berkenaan, pihaknya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam premis itu, pihak KPDNHEP menemui deretan tangki besar berisi beribu liter minyak enjin dan kotak gear tiruan.

“Malah, terdapat bekas minyak enjin kosong pelbagai jenama terkemuka yang boleh mengisi minyak seberat 4 liter di dalamnya,” katanya.

Dia berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati kilang itu menjadi tempat pemprosesan dan mengisi minyak enjin dan minyak kotak gear palsu dalam skala besar.

SEBUAH premis diserbu KPDNHEP.

“Terdapat beribu bekas minyak enjin atau minyak pelincir kenderaan yang menggunakan label palsu jenama terkemuka disimpan di dalam premis itu.

“Sukar untuk membezakan antara produk tulen dan produk palsu dihasilkan dengan hanya melihat secara luaran,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai memproses sendiri resipi minyak enjin dan kotak gear di dalam premis itu sebelum dimasukkan ke dalam bekas dan kotak.

“Produk tiruan itu kemudian dihantar ke rumah diserbu KPDNHEP itu untuk proses penyimpanan. Siasatan mendapati kediaman dua tingkat itu dijadikan stor untuk penyimpanan sebelum diedarkan ke seluruh Malaysia.

“Malah siasatan mendapati sindiket turut menjual produk itu melalui penghantaran kurier kepada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Dia berkata, sindiket dikesan menyasarkan bengkel membaiki kenderaan sebagai pelanggan utama yang membeli minyak pelincir dan minyak kotak gear palsu dihasilkan itu.

“Berbanding harga produk tulen sekitar RM140 hingga RM150 setiap satu, sindiket menjual produk palsu itu pada harga antara RM70 hingga RM80 sahaja.

“Berdasarkan risikan, sindiket sama akan membeli semula bekas minyak terpakai dari bengkel kenderaan pada harga RM1 setiap satu sebelum diisi semula minyak enjin palsu dihasilkan.

“Kaedah kitar semula itu dilakukan bagi mengurangkan kos menghasilkan bekas minyak enjin dan kotak gear berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi Khas) Penguat Kuasa KPDNHEP Rosli Ahmad mengesahkan serbuan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 atas kesalahan pembekalan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya untuk pembekalan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Rampasan itu kejayaan terbaru selepas KPNDHEP Johor merampas 34,524 botol minyak pelincir satu liter disyaki tiruan dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Senai Selatan, Johor, kelmarin.

Pada 25 April lalu, KPDNHEP turut menyerbu dua premis di Manjung, Perak selepas didapati menyimpan 209 tong minyak pelincir tiruan dianggar bernilai RM257,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 6:20 AM