AINUL Atiya bersama Irdina menunjukkan gambar ibunya, Faziani yang maut dalam kemalangan di Pattani. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

“BARU-BARU ini, mama berpesan kepada semua lapan anak termasuk empat anak tiri serta adik beradik supaya tidak bergaduh dan jangan berebut harta dunia sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadapnya.”

Demikian kata anak tiri kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, berkata, ibu tirinya yang dipanggil mama juga meluahkan rasa seolah-olah semakin dekat dengan arwah bapanya dan membayangkan jika meninggal dunia nanti.

“Sahur pagi tadi mama tidak bercakap banyak dan kelihatan agak letih kerana baharu pulang dari Jakarta, Indonesia petang semalam atas urusan perniagaannya.

“Pagi tadi pula mama terus ke Pattani bersama papa, Ahmad Shah Rizal, 42, kira-kira 7 pagi.

“Selalunya mereka dibawa oleh pemandu tapi hari ini papa sendiri yang ingin memandu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Kampung Paloh, di Tumpat, hari ini.

Menurut Ainul Atiya, arwah mamanya kerap ke Pattani untuk menyampaikan sumbangan zakat serta berjumpa dengan pihak pengurusan di sana bertanyakan sebarang keperluan yang diperlukan.

Dalam kejadian 10.30 pagi tadi (waktu tempatan), Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal merempuh lori.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

Difahamkan jenazah dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, petang ini.

Seorang lagi anak arwah, Irdina Hakim Jasman, 16, berkata, dia sempat bertemu ibunya ketika berbuka puasa beramai-ramai malam tadi di rumah neneknya di Wakaf Bharu.

“Malam tadi pula kami menikmati colek di sebuah kedai makan di sini kerana ramai ahli keluarga berkumpul dan arwah mengajak makan beramai-ramai.

“Saya tidak bersahur pagi tadi dan tidak sempat berjumpa mama kerana mereka bertolak lebih awal dari biasa ke Pattani,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Pengasas Dnars maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 3:38 PM