BERNAMA

BUMI Pahang seakan ‘menangis’ menyambut kepulangan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat di ibu negara hari ini.

Sejak petang tadi, cuaca mendung sebelum gerimis membasahi ruang udara Pangkalan Udara Kuantan, ketika pesawat khas yang membawa jenazah Almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang mendarat pada 7.25 malam.

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah Almarhum ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Turut kelihatan bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Jenazah seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dekat sini dengan van jenazah pada 7.50 malam dengan diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fadh Mu’adzam Shah yang juga anakanda bongsu Almarhum yang sebelum itu mengiring pergerakan jenazah dari Istana Negara, dilihat turut menaiki van jenazah.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi, dan akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zuhur esok.

Baginda adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 9:29 PM
    JENAZAH Almarhum Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar keberangkatan tiba di Pangkalan Udara Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal