YANA Deinesh menundukkan kepala ketika hakim menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadapnya.
Agensi

MOSCOW: Seorang pengasuh wanita di Arkhangelsk Oblast, Rusia dihukum penjara 14 tahun selepas didapati bersalah meracun mati kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di bawah jagaannya dengan garam.

Pesalah, Yana Deinesh, 25, memasukkan 50 gram garam ke dalam bubur dan memaksa mangsa memakannya semata-mata budak itu bersikap perengus ketika diberi makan tengah hari.

Menurut Daily Mail, kejadian berlaku di sebuah perkampungan di Kholmogory dan Yana mengambil sebungkus garam dan menuang hampir separuh daripadanya ke dalam bubur mangsa.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan sakit sebelum pengsan tidak lama selepas memakan bubur racun itu.

Doktor bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa disebabkan kandungan garam didapati 60 kali lebih tinggi dalam tubuh mangsa.

Ketika disoal siasat, Yana mengakui tidak berniat membunuh mangsa. Namun, mahkamah daerah Arkhangelsk mendakwa wanita itu dengan tuduhan membunuh dan mensabitkan dia 14 tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:00 AM