Polemik kepentingan penguasaan bahasa Mandarin dalam kalangan bakal pekerja seperti dikehendaki segelintir majikan di negara ini semakin ‘panas’ dengan sebahagian masyarakat mahu ia diteruskan manakala yang lain menentang.

Ia bermula dengan kuota matrikulasi sebelum isu ini berkembang kepada peluang pekerjaan yang hanya dibuka untuk mereka yang menguasai bahasa Mandarin, seterusnya menutup peluang bagi yang tidak menguasainya.

Bagaimanapun, di sebalik isu yang sensitif ini, ada juga yang mahu supaya masyarakat, khasnya orang Melayu, supaya berusaha menguasai bahasa Mandarin kerana ia mampu meningkatkan tahap pasaran kerja untuk mereka.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Metro Ahad, MOHD FAHD RAHMAT, jurugambar INTANI NUR ELLIANA ZAKARIA dan juruvideo, MUSTAFFA KAMAL RAMLI mendapatkan pandangan Felo Utama Institut Kajian Etnik Kita (Kita) dan Felo Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Bahasa Kebangsaan kini seolah-olah dianaktirikan selepas ada majikan mahukan mereka yang menguasai bahasa Mandarin diambil bekerja. Komen?

Tidak dapat dinafikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara ibarat melukut di tepi gantang.

Antaranya ia diketepikan sesetengah pihak, sama ada golongan bukan Melayu seperti dalam kes kaum Cina yang tidak memperlihat kebanggaan terhadap bahasa Melayu dan golongan Melayu sendiri.

Walaupun tidak semua, tapi golongan ini kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk melonjakkan anak bangsa serta memajukan negara.

Jadi, dalam kes ini, calon yang boleh menguasai bahasa Mandarin seperti syarat permohonan kerja oleh majikan Cina, boleh menjadikan seseorang itu mempunyai nilai tambah.

Tapi, pada masa yang sama, ia juga tidak dinafikan lebih berbaur kepada diskriminasi yang disengajakan oleh pihak majikan hanya untuk menggajikan pekerja Cina.

Orang Melayu lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris dan semestinya majoritinya tidak mampu menguasai bahasa Mandarin. Apa pendapat Prof?

Hal ini tidak semestinya begitu. Kemampuan menguasai apa-apa saja bahasa yang ingin dipelajari itu ada pada setiap insan yang tidak cacat mentalnya.

Ini kerana ‘alat penguasaan bahasa’ pada otak manusia dikurniakan Tuhan kepada setiap insan yang normal.

Oleh itu, orang Melayu juga mampu menguasai bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa lain.

Sehubungan itu, kejayaan mempelajari bahasa lain amat bergantung kepada pihak yang mahu mempelajarinya.

Dalam hal ini, kognisi yang dinanugerahkan Tuhan, perwatakan yang turut menggerakkan motivasi, sikap dan keazaman adalah antara beberapa faktor penting, yang selalu dikaitkan dengan pembelajaran bahasa lain, selain bahasa ibunda kita.

Bangsa lain di negara ini boleh berbahasa Melayu dengan baik, mengapa orang Melayu seolah-olah malas atau tidak bermaya untuk menguasai bahasa lain seperti Mandarin?

Dalam hal ini, mungkin motivasi untuk mempelajari bahasa lain itu tiada langsung atau rendah sekali.

Selain motivasi, yakni faedah mempelajarinya, sikap juga memainkan peranan penting. Sikap itu berkaitan dengan cara pemikiran kita mengenai sesuatu, sama ada positif atau sebaliknya.

Dalam kes bahasa Mandarin, mungkin Orang Melayu tidak mendapati adanya faedah dan manfaat yang menguntungkan untuk mereka menguasai bahasa Mandarin.

Begitu juga dengan pemikiran mereka, iaitu pandangan dan perasaan terhadap bahasa Mandarin dan juga komuniti bahasa Cina tidak begitu merangsangkan.

Justeru, timbul persoalan apakah faedah dan manfaat bahasa Mandarin kepada Orang Melayu? Antaranya adalah untuk mengetahui satu lagi bahasa, sama ada untuk tujuan instrumental iaitu memenuhi syarat pekerjaan dalam sektor tertentu, atau untuk tujuan integratif, yakni mempereratkan persahabatan dengan kaum Cina bagi memupuk hubungan etnik yang lebih baik.

Dari satu sudut, dengan adanya pengetahuan dan penguasaan bahasa Mandarin, ia juga boleh membawa kepada peluang pendidikan yang lebih luas, serta kepada peluasan pemahaman mengenai tamadun Cina.

Apakah kepentingan menguasai bahasa Mandarin kepada masyarakat Melayu?

Bahasa Mandarin adalah hanya bahasa vernakular di negara ini mengikut Dasar Bahasa kita.

Sebagai bahasa sukuan kaum Cina, ia tiada kepentingan untuk dikuasai kaum lain.

Ia hanya penting kepada kaum Cina sebagai bahasa ibunda dan warisan sebagai antara penanda etnik Cina yang penting.

Oleh itu, ia langsung tidak penting untuk diketahui dan dikuasai kaum bukan Cina dalam konteks etnisiti Cina.

Walaupun ia salah sebuah bahasa besar dunia, statusnya sebagai vernakular perlu difahami oleh semua pihak, khususnya kaum Cina.

Oleh itu, tempat dan kedudukannya adalah amat terhad di negara ini, berbanding dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama yang terpenting kerana ia bahasa negara dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua terpenting di negara ini sebab ia bahasa antarabangsa dan popular di dunia.

Status ini diputuskan dalam Dasar Bahasa kita!

Oleh itu, pengembangan bahasa Mandarin di negara hanya selari dengan statusnya sebagai sebuah vernakular saja.

Anak orang Melayu yang dihantar ke sekolah jenis kebangsaan Cina menguasai bahasa Mandarin dengan baik. Pendapat Prof, wajarkan kerajaan mewajibkan pembelajaran bahasa ini dalam kalangan murid serta pelajar?

Bahasa Mandarin tidak wajar diwajibkan pembelajarannya di negara ini. Ini kerana ia hanya berstatus vernakular, iaitu bahasa sukuan sesuatu kelompok dan tidak lebih daripada itu.

Oleh sebab bahasa Mandarin menjadi lebih popular susulan kemunculan China sebagai kuasa besar di dunia, kita boleh menggalakkan pembelajarannya di negara ini.

Jadikannya pilihan yang digalakkan dan bukannya kemestian untuk semua.

Sehubungan ini, kita boleh sesekali terikut-ikut dengan wacana dan naratif sesetengah pihak yang mahu mengangkat bahasa Mandarin ke persada yang lebih daripada hanya sebagai sebuah vernakular, iaitu dengan membicarakan nilai ekonominya.

Tidak dapat dinafikan, Mandarin bahasa hebat, bahasa di China dan antara bahasa besar dunia, namun ia hanya sebuah vernakular di Malaysia.

Jadi sudah sampai masanya majoriti orang Melayu keluar dari zon selesa dan berusaha menguasai bahasa asing untuk meningkatkan nilai diri mereka dalam bidang pekerjaan yang bersesuaian?

Memang menjadi kelebihan jika seseorang itu boleh menguasai bahasa lain selain daripada bahasa ibunda dan etnik kita.

Ia bukan saja memberi faedah dalam dunia pekerjaan, malah menyematkan lebih keyakinan diri seseorang itu.

Sebenarnya dengan mengetahui bahasa lain, apatah lagi menguasainya dengan baik, kita sesungguhnya akan ikut mengetahui dan memahami budaya sesebuah kelompok lain. Ini kerana bahasa dan budaya itu berkait rapat.

Lebih daripada itu, kelebihan pengetahuan terhadap bahasa lain itu sebenarnya boleh memupuk perpaduan yang sangat penting dalam masyarakat majmuk, seperti Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Prof, mampukah orang Melayu mengubah minda dan berusaha menguasai bahasa Mandarin?

Mengapa tidak? Ini bergantung kepada motivasi dan sikap mereka terhadap bahasa Mandarin dan juga kaum Cina.

Motivasi dan sikap itu mampu mendorong kepada kejayaan dalam usaha kita melakukan sesuatu.

Berbekalkan motivasi dan sikap yang betul lagi positif untuk mengubah minda mereka, tiada sebab mengapa orang Melayu tidak boleh menguasai bahasa Mandarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:00 AM
Profesor Dato’ Dr Teo Kok Seong. FOTO/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA