Nor Adeela bersama dua anaknya Muhammad Adam dan Muhammad Ishabil ditenangkan rakan yang datang menziarahi di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Mohd Sabran Md Sani

“TUNGGU abang,” demikian kata terakhir Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, kepada isterinya sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, hari ini.

Nor Adeela Mad Hashim, 26, berkata dia dan suaminya yang juga anggota di Balai Polis Tampoi sepatutnya pulang berhari raya di Alor Setar, Kedah hari ini.

Katanya, semua perancangan sudah dibuat termasuk menyiapkan kelengkapan dua anak mereka Muhammad Adam Iskandar, 7, dan Muhammad Ishabil, 3, untuk pulang ke negeri jelapang padi itu petang ini.

Katanya, bagaimanapun suaminya menemui ajal akibat dirempuh motosikal ketika melakukan pemeriksaan bersama rakan setugas terhadap van di bahu jalan di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, Johor Bahru, 6.40 pagi tadi.

Katanya, suaminya teruja untuk pulang berhari raya memandangkan ia pertama kali dapat berbuat demikian selepas lima tahun bertugas di negeri ini.

“Dia sangat bersungguh-sungguh untuk beraya di kampung tahun ini, apatah lagi sudah lima tahun kami tidak pulang beraya.

“Arwah suami juga sudah siap membeli kelengkapan kami sekeluarga ketika memperoleh gaji pada 23 Mei lalu dan membeli barangan itu di sekitar bandar ini,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) petang ini.

Katanya, dia tidak sangka kepulangan yang dijanjikan membawa jasad suaminya bersama selepas terbabit kemalangan ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suaminya itu pada 3 pagi selepas menghantar dua bungkus nasi lemak untuk bersahur.

“Kebetulan saya teringin makan nasi lemak dan dia balik belikan saya nasi lemak itu untuk bersahur,” katanya.

Katanya, suaminya bekerja syif malam bermula jam 11.30 malam dan selesai tugas pada jam 8 pagi tadi.

“Saya dapat tahu kemalangan itu dari rakan setugas dan tidak tahu apa yang berlaku terhadapnya lagi.

“Sebaik mengetahui kejadian itu anak sulung hanya dimaklumkan bahawa ayahnya sedang sakit, selain tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat pada jam 2 petang tadi disembahyangkan di Surau Taman Melor sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kampung Paya Tok Teh, Malau Jitra, Kedah.

Sementara itu suasana penuh emosi dapat dilihat di ruang menunggu bilik mayat HSA apabila isteri dan dua anak anggota polis itu dilihat berada di kawasan terbabit.

Paling sebak apabila anak sulung arwah dilihat enggan melihat jenazah arwah bapanya, namun dipujuk rakan-rakan ayahnya untuk melihat kali terakhir.

Berita berkaitan

'Polis maut dirempuh ketika bertugas'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 4:26 PM