GAMBAR hiasan.
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan, kesemua 41 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) masih dalam keadaan baik dan boleh beroperasi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan JPJ, pihaknya menyangkal laporan berita dikeluarkan sebuah portal berita semalam yang mendakwa, hanya empat daripada 45 kamera dipasang dikatakan berfungsi.

“Pengoperasian beberapa kamera AWAS ditangguhkan sementara waktu kerana terbabit dengan kemalangan dan membabitkan kerja pendawaian serta pemasangan semula.

“Kesemua 41 kamera adalah masih dalam keadaan baik dan sedang beroperasi,” katanya, hari ini.

Laporan portal berkenaan turut memetik sumber yang mendakwa, 41 kamera di jalan raya dan lebuh raya, yang dulunya dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), tidak berfungsi kerana tidak diselenggara.

Dalam pada itu, JPJ memaklumkan, statistik jumlah saman AWAS sejak pengambilalihan oleh JPJ sehingga Mei 2019 adalah sebanyak 169,051 saman yang dikeluarkan.

“Selain itu, JPJ juga menyangkal dakwaan mengenai tiada kepakaran untuk menjalankan pengoperasian kamera AWAS seperti yang dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 8:22 AM