PEMAIN Kelantan hanya menerima insentif sebelum Syawal. FOTO/NSTP
Syazwan Msar


SINAR kegembiraan diharapkan namun duka pula menjelma ketika saat umat Islam menyambut Aidilfitri apabila pemain Kelantan dan pasukan Liga M3, Batu 2 FC tidak menerima pembayaran gaji seperti dijanjikan pihak pengurusan.

Perkara itu begitu perit diterima pemain apabila kebanyakannya terpaksa menyambut Aidilfitri secara ala kadar berikutan pengurusan hanya menabur janji manis kepada mereka untuk menyelesaikan tunggakan dua bulan gaji sebelum 1 Syawal.

Mengikut maklumat pemain, The Red Warriors (TRW) hanya menerima pembayaran insentif baru-baru ini sebagai duit belanja untuk membeli barangan dan kelengkapan sempena Aidilfitri. Malah, skuad piala presiden mereka pula terpaksa ‘gigit jari’ apabila pembayaran elaun belum diterima malah keluhan pemain terbabit juga tidak didengari.

Pemain Kelantan yang enggan namanya didedahkan memberitahu, pergolakan pengurusan menyebabkan mereka menjadi mangsa sehingga nasib pasukan boleh dikatakan berada dalam keadaan tidak menentu.

“Baru-baru ini, kami ada dengar presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan menghentikan penyaluran dana kepada pemain menyebabkan gaji tertunggak.

“Wang insentif yang diterima itu sebenarnya tidak mencukupi membeli barangan keperluan dan persiapan raya, malah ada pemain terpaksa gunakannya untuk menyelesaikan hutang.

“Situasi ini menyebabkan ada antara pemain mahu ‘angkat kaki’,” katanya.

Sebelum ini, Bibi memaklumkan tidak akan lagi menggunakan dana sendiri untuk membayar gaji pemain dan hanya mengharapkan sumber kewangan daripada pihak lain saja. Keputusan itu berikutan beberapa pihak mahu mengambil alih tampuk pemerintahan badan induk bola sepak negeri itu, sekali gus Bibi tidak mahu keluarkan wang sendiri sehingga presiden baharu menyandang jawatan terbabit.

Sementara itu, Batu 2 FC pula yang dijanjikan sepatutnya menerima tunggakan gaji sebelum Aidilfitri terpaksa melupakannya selepas pengurusan gagal menunaikan janji mereka.

Menurut sumber pasukan yang bermain di liga M3 itu, pemain sebelum ini diberikan cek tunggakan gaji sebelum pengurusan mengambil semula kononnya mahu memasukkan terus wang kepada akaun pemain.

“Namun, petang semalam (kelmarin) pengurusan memaklumkan tidak akan bayar tunggakan gaji kerana isu berkenaan sudah tersebar di media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:30 AM