Aizat Sharif dan Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“SELEPAS menyebut bertakwalah pada Allah dan beberapa baris ayat seterusnya semasa membaca khutbah, Ustaz Ku Yaacob terus rebah,” kata Eksekutif Kanan Masjid Al Bukhary, Abdul Rahman Yaacob.

Abdul Rahman, 42, berkongsi detik Khatib Jumaat Masjid Al Bukhary, Allahyarham Ku Yaacob Ku Hasim, 68, yang rebah di mimbar semasa menyampaikan khutbah, hari ini.

Menurutnya, Allahyarham kemudian dibantu jemaah masjid yang juga seorang doktor sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia.

Katanya, kematian Allahyarham sangat dicemburui berikutan arwah seorang yang sangat baik dan tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap.

“Saya mengenali Allahyarham empat tahun lalu sejak arwah memegang jawatan Timbalan Pengerusi masjid berkenaan. Beliau seorang yang sangat komited melaksanakan tugas.

“Malah apabila berdamping dengan arwah, hati akan rasa tenang dengan tutur katanya yang lemah lembut dan tersusun, arwah seorang yang berbudi pekerti,” katanya yang sudah 16 tahun bertugas di masjid berkenaan.

Bercerita lanjut, Abdul Rahman berkata, arwah adalah seorang bekas guru agama di sebuah sekolah di Kedah dan pernah memegang jawatan Pengerusi Surau Taman Mutiara di kawasan kediamannya.

Selain ditugaskan membaca khutbah, Allahyarham juga sering memberi tazkirah sebelum solat Zohor pada Isnin dan Sabtu.

Oleh itu katanya, tidak hairanlah jika Allahyarham sering menjadi rujukan jemaah masjid serta rakan kariah Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.

“Sebelum Hari Raya saya bersama Allahyarham berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin akan menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

“Arwah begitu tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukannya..semasa membuat latihan Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, arwah sentiasa nampak tenang,” katanya.

Difahamkan, Ku Yaacob sebelum ini pernah mengadu kepada AJK masjid mengenai keadaannya yang sentiasa berasa ‘ketat’ dada (sesak nafas) selain turut mempunyai penyakit kencing manis.

Rakan baik arwah, Mohamad Hazli Ismail, 42 berkata, pemergian rakannya itu adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Setahu saya Allahyarham memang tidak pernah mempunyai sakit yang serius selain pernah masuk wad kerana jatuh longkang dua tahun lalu.

“Allahyarham adalah seorang yang tidak banyak bercakap dan kali terakhir saya bertemu dengannya pada Ramadan lalu. Selepas terawih, kami minum bersama-sama,” katanya.

Mohamad Hazli berkata, perkenalannya dengan Allahyarham sudah bermula sejak 2006.

“Segalanya bermula di Surau Darussyifa Taman Mutiara Alor Setar, tempat Allahyarham tinggal dan saya mengajar kelas al-Quran dan kuliah subuh di surau berkenaan.

“Namun, sudah ketentuan Ilahi bahawa dia meninggal pada hari yang bagi saya cukup cantik dan keadaan yang kita sendiri cukup cemburu dan mahu mengikuti jejaknya itu,” katanya.

Seorang jemaah, Ismail Mustafa, 43, dari Alor Setar berkata, kejadian berlaku dengan pantas serta tidak disangka-sangka.

“Saya sering mengikuti kuliah atau syarahan Allahyarham namun tidak pula nampak tanda bahawa dia sedang sakit.

“Kejadian hari ini pun berlaku dengan pantas apabila saya nampak beliau tiba-tiba rebah dan selepas meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:26 PM
RAKAMAN Ustaz Ku Yaacob yang rebah ketika membaca khutbah. FOTO ihsan pembaca