Mohd Zulkifli Zainuddin dan Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


POLIS menemui tulang dipercayai milik mayat seorang penduduk Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia kerana dijangkiti kuman di saluran pernafasan di kawasan hutan berhampiran Kuala Koh, Gua Musang, petang ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tulang itu ditemui berselerak di bawah pokok iaitu tujuh kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

Beliau berkata, setakat ini, pasukan pencarian yang memulakan operasi sejak 2.30 petang tadi baru saja menemui satu kubur yang diletakkan tanda, sebelum meneruskan operasi mencari 11 lagi kubur milik mangsa lain.

“Tiga pasukan pencari yang dibentuk membabitkan pihak polis dan beberapa agensi lain memulakan operasi mengesan kubur 12 penduduk Orang Asli berkenaan.

“Selepas dua jam iaitu kira-kira jam 4.30 petang, kita berjaya menemui satu mayat dalam bentuk tulang yang berselerakan di atas tanah. Mayat ini dipercayai diletakkan di atas pokok, kemudian reput dan jatuh ke tanah.

“Bagaimanapun, identiti dan jantina mangsa itu belum dapat diketahui kerana mayat itu belum diserahkan lagi kepada pihak forensik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Aring 10, di Gua Musang, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, setiap pasukan operasi mencari kubur mereka itu antara 10 hingga 11 orang termasuk anggota polis, kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan penduduk Orang Asli.

Beliau berkata, operasi pencarian itu ditangguhkan 5.20 petang dan akan disambung semula 8.30 pagi esok.

“Kita lihat pula perkembangan terbaru esok berhubung pencarian ini dan tidak dapat dipastikan berapa lama gerakan mencari baki 11 lagi kubur,” katanya.

Ditanya mengenai sekatan di Aring 10 dan zon merah beliau berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan demi keselamatan semua.

“Kita buat pusat kawalan di Aring 10 kerana jarak jauh daripada perkampungan Orang Asli di Kuala Koh dan mungkin selamat daripada jangkitan kuman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:58 PM
    BEBERAPA anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan kawalan di Ladang Aring 10, jalan ke perkampungan Orang Asli Kuala Koh selepas laluan ke perkampungan itu ditutup bagi orang awam dan petugas media. FOTO Syamsi Suhaimi