SYAKILA (kanan) bersama ahli keluarga mangsa memenuhi pekarangan Jabatan Forensik HoSAS, Temerloh, malam ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


“MAK cik Siti tidak benarkan orang lain memasak selama dia berada di rumah nenek, malah dia meminta kami memberitahu juadah apa ingin dimakan dan dia akan masak untuk kami semua.

“Pada ketika itu kami fikir mungkin mak cik Siti terlalu gembira kerana dapat berkumpul beramai-ramai, tidak sangka pula ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” kata Syakila Isa, 21.

Syakila adalah anak saudara kepada Siti Zubaidah Abidin, 40, yang maut bersama anak bongsunya, Aqil Zikri Syah Kamarulzaman, 6, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 51, Jalan Temerloh-Kemasul, di Bera, Temerloh, pada 1.50 tengah hari ini.

Turut maut dalam kejadian itu adalah adik Siti Zubaidah, Siti Rahmah Abidin, 33, serta suaminya, Nor Amri Mohd Ali, 35, manakala adik iparnya, Nor Shuhada Shukri, 29, parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Syakila berkata, mereka berkumpul di rumah neneknya di FELDA Bukit Puchong, Bera, sejak Jumaat untuk meraikan Aidilfitri.

Menurutnya, Siti Zubaidah sempat menyiapkan juadah nasi lemak sotong sebelum mereka bertolak untuk menghadiri majlis pertunangan saudara di Serting, Negeri Sembilan.

Katanya, mereka menaiki dua kereta, namun kereta Perodua Viva dinaiki Siti Zubaidah dan semua mangsa terbabit bertolak dahulu.

“Saya menaiki kereta Proton Persona bersama ayah, ibu, nenek dan seorang lagi saudara dan kami bertolak kira-kira lima minit selepas kereta dinaiki Makcik Siti bergerak.

“Namun apabila sampai ke tempat kejadian kami melihat kereta Perodua Viva dinaiki mereka sudah terperosok di bawah lori.

“Kami menggigil melihat kejadian itu sehingga ayah tidak mampu meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HoSHAS di Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian itu, kereta dinaiki mangsa dirempuh sebuah lori dari arah Temerloh menuju ke Kemasul yang memasuki arah bertentangan sebelum kenderaan berat itu melanggar sebuah lagi lori.

Sementara itu, suami Siti Zubaidah, Kamarulzaman Khamis, 45, berkata, dia reda dengan kejadian itu walaupun pada mulanya agak sukar untuk menerima kehilangan isteri serta anak bongsunya itu.

“Dugaan ini amat berat untuk saya terima, tambahan pula ia berlaku di bulan Syawal, namun saya reda dan terima ketentuan takdir.

“Isteri tidak menunjukkan sebarang kelainan sebelum kejadian dan hanya bersikap biasa sahaja,” katanya.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Bukit Puchong selepas proses bedah siasat selesai.

Berita berkaitan

'Empat maut kemalangan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:39 PM