Mohamad Hussin dan Noor Atiqah Sulaiman


KUALA LUMPUR: Durian yang cukup sinonim dengan gelaran Raja Buah mampu menggantikan tanaman komoditi seperti getah sebagai satu sumber kekayaan baharu kepada petani di negara ini.

Ini kerana terdapat lebih 200 varieti durian sudah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian (DOA) antaranya komersial seperti D24, D99 (Kop Kecil), D145 (Durian Hijau/Beserah), D168 (IOI/Hajah Hasmah), D160 (Tekka/Buluh Bawah), D197 (Raja Kunyit/Musang King), Duri Hitam (Black Thorn) dan bermacam-macam lagi yang disahkan memiliki rasa enak hingga menjadi kegemaran kepada rakyat China dan Singapura.

Mengikut statistik terkini DOA, terdapat sebanyak 72,464 hektar (ha) tanaman durian diusahakan dengan pengeluaran sebanyak 251,910 metrik tan (mt) setahun.

Daripada jumlah keluasan ini, Pahang memiliki ladang terbesar berkeluasan 18,293 ha dengan pengeluaran sebanyak 45,078 mt.

Musang King antara durian popular masa kini dan mendapat permintaan tinggi hingga kawasan Raub di Pahang dikenali sebagai daerah Musang King.

Pada harga hampir RM150 sekilogram untuk gred A, durian ini mampu memberi pulangan lumayan setiap kali musim iaitu dua kali setahun.

Berikutan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjangka 1,000 tan durian jenis premium iaitu Musang King (D197) dan Black Thorn (D200) akan dieksport ke China setiap bulan mulai bulan depan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya yakin jumlah pengeluaran adalah mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara termasuk pasaran China.

“Kementerian kini menjadikan durian sebagai salah satu industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu. Dianggarkan nilaian kepada eksport negara dijangka RM500 juta setahun.

“Buat masa ini, kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji diberikan kepada lima syarikat iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd.

“Kementerian berharap lebih banyak syarikat akan mendapat kelulusan untuk mengeksport pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pengeksportan Sulung Buah Durian Sejuk Beku Malaysia Ke China di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Sim Tze Tzin dan Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Salahuddin berkata, penghantaran sulung durian sejuk beku dalam bentuk biji itu dianggap detik bersejarah dalam industri pertanian negara kerana sebelum ini ia hanya menghantar durian berkenaan secara pes atau ulas.

Beliau juga menggalakkan pengusaha untuk mengadakan aktiviti agropelancongan berasaskan durian sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Bai Tian pula mengakui beliau penggemar durian dari Malaysia dan menganggap raja buah dari negara ini adalah yang terbaik di dunia.

“Di China kini sudah ada lebih 1.4 bilion penduduk dan dianggarkan 300 hingga 400 juta penduduk sedang menantikan kedatangan durian ini.

“Diharapkan perdagangan ini berjaya dan akan memberi faedah kepada lebih banyak pengusaha durian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian (Unit Pembangunan Industri Tanaman), Pejabat Pertanian Daerah Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, Musang King adalah durian yang paling digemari rakyat China kerana isinya yang kuning terang, rasanya manis, sedikit pahit serta berlemak.

“Bijinya yang nipis dan isi tebal juga membuatkan durian Musang King atau turut dikenali sebagai Raja Kunyit, varieti durian D197 ini puas untuk dinikmati.

“Bagi menjamin ketulenan baka, kaedah pembiakan vegetatif perlu dijalankan seperti teknologi cantuman dewasa durian dan anak benih pokok cantuman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 12:26 PM
SALAHUDDIN (dua dari kanan) bersama Sim (kanan) melihat durian sejuk beku yang dieksport ke China.