Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 110 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dikejarkan ke Hospital Serdang selepas mengalami muntah dan sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan.

Sumber KUIS berkata, semua penuntut itu membabitkan 90 wanita dan 20 lelaki sedang menjalani program orientasi bagi kemasukan peringkat diploma dan ijazah kolej universiti itu.

Katanya, kebanyakan penuntut mengadu sakit perut dan muntah selepas solat Maghrib dan susulan itu KUIS membawa mereka ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

“Hari ini hari keempat penuntut itu menjalani program orientasi selama seminggu di KUIS.

“Namun selepas solat Maghrib tadi, ramai mengadu sakit perut dan mula muntah menyebabkan pengurusan KUIS mengambil keputusan membawa mereka ke Hospital Serdang sejak 8.30 malam tadi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Serdang.

Menurut sumber itu lagi, sebelum solat Maghrib, semua penuntut makan malam nasi putih berlauk ayam masak kurma serta sayur di dewan makan antara 6.30 petang hingga 7 malam.

Katanya, kemungkinan makanan berkenaan menjadi punca keracunan makanan dialami penuntut terbabit.

“Tengah hari tadi mereka tidak menunjukkan simptom sakit perut dan muntah selepas makan tengah hari nasi putih ayam masak kicap dan sayur.

“Namun selepas makan malam dan selesai solat Maghrib, mereka mengadu sakit perut dan muntah,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, sepanjang minggu orientasi itu, KUIS mengambil tempahan penyediaan makanan daripada katering luar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 12:47 AM
Penuntut KUIS mendapatkan rawatan di Hospital Serdang. FOTO Aswady Alias