PENGEMBUR tanah ditarik bot bagi mengaut balat lebih banyak.
Fardy Bungga


KOTA KINABALU: Nelayan Vietnam sanggup berlayar ribuan kilometer dari negara asal ke perairan negeri ini semata-mata mahu mendapatkan gamat atau nama saintifiknya holothuria scabra yang mampu memberi pulangan lumayan.

Gamat atau panggilan tempatannya, balat adalah sejenis hidupan laut unik yang kerap menjadi hidangan mewah kerana khasiat yang terkandung di dalamnya.

Walaupun, rupa bentuknya pelik bagi sesetengah orang, namun amat mengejutkan apabila harga hidupan laut itu mampu mencecah sehingga RM1,350 untuk setiap kilogram.

Antara balat yang dijual di pasaran tempatan adalah jenis balat harimau putih, balat susu, balat lipan dan balat gajah yang mudah diperolehi di kawasan perairan Kudat dan pantai timur negeri ini.

Disebabkan harganya yang lumayan, nelayan asing dan peniaga makanan laut berusaha mendapatkannya dengan cara mencuri hasil laut negara.

Malah, laporan akhbar juga mengesahkan balat di negeri ini turut ‘dituai’ nelayan warga asing dari Vietnam yang menceroboh masuk ke perairan negara.

Difahamkan, setiap sekilogram balat itu boleh dibeli pada harga borong sekitar RM750 mengikut harga pasaran tempatan, namun boleh dijual sehingga ribuan ringgit di luar negara.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan berkata, balat banyak ditemui perairan Pulau Balambangan, Pulau Banggi dan Pulau Tigabu, sekitar daerah Kudat.

Katanya, setakat enam bulan pertama tahun ini, pihaknya sudah merekodkan dua kes membabitkan nelayan asing terutama warga Vietnam yang mencuri banyak hasil balat di negeri ini.

“Hasil tangkapan bagi kedua-dua kes ini, APMM merampas 1,250 kilogram balat daripada tiga bot nelayan yang masuk ke negara ini sama ada menggunakan bot tempatan ataupun bot asing.

“Malah, hasil pemeriksaan mendapati, kumpulan nelayan warga asing ini menggunakan peralatan seperti pengembur tanah yang diharamkan Jabatan Perikanan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kumpulan nelayan asing berkenaan dikesan menggunakan peralatan khas itu yang diletakkan di dasar laut sebelum ditarik untuk menangguk balat.

Katanya, cara pengambilan balat itu diharamkan kerana bukan saja mengaut pelbagai hidupan laut, malah ia menjejaskan ekosistem termasuk merosakkan terumbu karang yang menjadi komponen penting sumber pembiakan hidupan maritim.

“Kaedah yang digunakan adalah dilarang kerana ia memberi kesan jangka panjang pada sistem ekologi dan biodiversiti marin.

“Penggunaan tangguk besi boleh merosakkan batu karang yang menjadi habitat hidupan marin. Lebih menyedihkan lagi, ada sesetengah spesies batu karang yang memerlukan masa ratusan tahun untuk membesar musnah begitu saja,” katanya.

Sehubungan itu, Kamaruszaman mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa menjadi mata dan telinga APMM untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah di perairan.

Katanya, usaha memerangi pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara perlu diperhebatkan kerana ia menyebabkan kerugian mencecah nilai RM8 bilion kepada negara selain bertujuan menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 7:01 AM