BEBERAPA pelajar yang kelihatan lemah dan mempunyai simptom pening kepala dan loya tekak. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim IsaAmir Abd Hamid dan Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini


INSIDEN bayu beracun yang melanda sekitar Pasir Gudang menyaksikan 14 lagi sekolah diarahkan tutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.

Sekolah terbabit terletak dalam radius enam kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar di sini, yang juga sekolah pertama terjejas akibat pencemaran udara itu pada Khamis lalu.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai.

Turut ditutup Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.

Terdahulu dua sekolah yang diarah tutup lebih awal ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, dua sekolah yang sebelum ini diarahkan tutup semalam dan hari ini turut dilanjutkan hingga Khamis ini.


PELAJAR SMK Taman Nusa Damai dibenarkan pulang. FOTO Bernama

“Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat membuat ketetapan supaya sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian yang dikenal pasti, ditutup selama empat hari,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan (PGOP) Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor dan prasekolah serta tadika di jajaran yang dikenal pasti akan ditutup mengikut masa ditetapkan.

Ditanya mengenai situasi yang majoritinya mangsa pencemaran udara itu membabitkan murid dan pelajar sekolah, Mohd Khuzzan berkata, ia membabitkan mereka yang berada di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah.

“Kami mendapati semua murid yang terjejas rata-ratanya bersekolah di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah.

“Kami melihat keadaan ini berlaku mengikut arah angin yang kini dari arah selatan. Hanya sekolah-sekolah saja ditutup, itu pun setakat ini yang di jajaran angin ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khuzzan berkata, 13 murid dan pelajar sekolah menengah sekitar Pasir Gudang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala 49 menerima rawatan di klinik sementara yang dibuka di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Katanya, jumlah itu adalah mereka yang mengalami gangguan kesihatan seperti muntah dan sesak nafas sepanjang semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan mereka stabil dan tiada yang ditempatkan ke dalam wad HSI.


PELAJAR dibawa keluar oleh ambulans dari perkarangan sekolah. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Ditanya mengenai keputusan ujian darah ke atas murid dan pelajar yang sebelum ini dimasukkan ke wad HSI, Mohd Khuzzan berkata, semuanya negatif kesan bahan kimia.

“Ujian darah setakat ini semua negatif. Tiada kesan toksik. Mereka cuma muntah-muntah dan ujian darah mereka normal.

“Bagi yang dirujuk hari ini, mereka juga stabil dan pemantauan hanya dibuat di bahagian wad kecemasan,” katanya.

Difahamkan, dua murid sekolah berusia 11 tahun yang dimasukkan ke wad HSI, semalam dibenarkan pulang semalam.

Terdahulu seramai 20 pelajar SMK Taman Nusa Damai di sini, dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana terkesan dengan pencemaran udara.

Tinjauan di lokasi jam 11 pagi mendapati beberapa ambulans dilihat keluar dari sekolah berkenaan membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara ke HSI.

Dalam insiden pencemaran toksik Sungai Kim-kim pada 7 Mac lalu, sebanyak 11 sekolah diarah tutup sementara.

Selain sekolah, 92 tadika dan taska serta institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditutup bagi mengelak lebih ramai mangsa terjejas dan kerja pembersihan membabitkan sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai dikumpul sebelum dilupuskan kontraktor dilantik kerajaan.


KELIHATAN pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, yang dipercayai mengalami sesak nafas dan mual-mual diberi rawatan awal. FOTO Bernama

20 pelajar SMK Nusa Damai masuk hospital

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai di sini, semalam kecoh apabila 20 pelajar dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana terkesan dengan pencemaran udara.

Tinjauan di lokasi jam 11 pagi mendapati beberapa ambulans dilihat keluar dari sekolah berkenaan membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pihak pengurusan sekolah turut menghubungi ibu bapa supaya mengambil anak-anak masing pulang ke rumah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut seorang pelajar sekolah berkenaan, Akmal Hazim Nazri, 16, semalam adalah Hari Bertemu Pelanggan dan ibu bapa hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan anak masing-masing.

“Kira-kira 10 pagi, gempar apabila seorang pelajar tingkatan satu tiba-tiba pengsan. Tidak lama kemudian, guru mengumumkan semua pelajar tingkatan satu, empat dan lima keluar kelas dan berhimpun di dataran depan sekolah.

“Saya lihat ramai yang terbaring dan ada yang pengsan, tapi saya tidak nampak ada yang muntah dan tidak menghidu bau meloyakan,” katanya yang terus pulang ke rumah selepas diarahkan guru.

Manakala seorang suri rumah, Arbainah Mohamed, 47, berkata, dia menerima pesanan menerusi WhatsApp dari pengurusan sekolah memaklumkan sesi persekolahan pelajar sekolah menengah itu ditangguhkan.

Katanya, dia menerima mesej daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengarahkan sesi persekolahan ditangguhkan pada 11 pagi sehingga dimaklumkan kelak dan meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing.

“Saya tidak sedap hati sejak pengumuman tiga sekolah dan dua tadika diarah tutup, takut sangat pencemaran merebak ke kawasan berhampiran.

“Lagipun, jarak antara Sekolah Agama Taman Mawar ke sini hanya lapan kilometer, sangat dekat. Ibu bapa mana tidak risau berlaku apa-apa pada anak masing-masing.

“SMK Taman Nusa Damai berhampiran dengan SK Taman Nusa Damai dan saya bergegas mengambil anak, Daniel Ariff Fikri Zaquan, 15,” katanya yang menetap di Jalan Sejahtera 19, Taman Nusa Damai di sini.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:30 AM