Nor Azura Abdul Jalil


PENYANYI kumpulan OAG, Radhi diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya untuk membuat sumpah nafi berkaitan lafaz cerai yang dibuat terhadap isterinya, Ayu atau Nur Shahira Ayu Zahiri pada 25 Mac lalu.

Hakim Syarie Husaini Roslin memerintahkan demikian selepas Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 41, selaku defendan dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Ayu, 25, pada hari kejadian.

“Sumpah saya tak ingat,” katanya ketika menjawab soalan hakim mengenai lafaz cerai yang dibuatnya kepada wanita itu.

Menurut Radhi, dia tidak pasti sama ada dia menyebut perkataan ‘lepaskan’ atau ‘ceraikan’.

“Masa tu saya tak tidur dua hari jadi emosi saya tak stabil. Saya marah sangat, tumbuk pintu sampai pecah.

“Saya marah sebab dia (Ayu) susah hendak pulang ke rumah kami kerana dia balik ke rumah keluarganya. Saya tak tidur risau pasal dia, apa dia buat,” kata Radhi.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 16 Julai ini untuk Radhi membuat sumpah nafi atas kenyataannya itu.

“Mahkamah tak minta defendan (Radhi) buat sumpah nafi hari ini kerana kesannya besar (membabitkan) azab Allah dunia dan akhirat.

“Jadi pada tarikh akan datang mahkamah perintah defendan buat sumpah nafi. Masa yang ada ini, defendan boleh fikir semula apa yang berlaku pada tarikh (25 Mac) itu. Sekiranya masih konsisten, sumpah nafi akan dibuat,” katanya.

Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang individu bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan.

Terdahulu di awal prosiding, Ayu selaku plaintif memberitahu kepada mahkamah bahawa dia mendengar sendiri lafaz cerai yang dibuat Radhi pada jam 4.20 pagi, 25 Mac lalu di rumah mereka.

Ayu berkata, Radhi mengungkapkan lafaz cerai selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Dia lafaz ‘Aku ceraikan kau dengan talak satu’ . Lepas dia lafazkan ayat itu Radhi kata pada saya dia nak rujuk balik,” katanya.

Ayu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 3 Jun lalu.

Pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif, pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 1:36 PM
Radhi dan Nur Shahira Ayu ketika di mahkamah, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq