SEPANG 24 OKTOBER 2017. Pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Mahaizura Abd Malik


KELEWATAN pesawat penerbangan MH002 yang sepatutnya membawa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ke London 15 Jun lalu, berpunca daripada masalah teknikal.

Malaysia Airlines Berhad dalam satu kenyataan kesal dan memohon maaf atas kesulitan yang menyebabkan kelewatan jadual asal penumpang termasuk Mohamad Sabu.

"Pihak kami menyedari temujanji menteri terbabit, namun ia satu keperluan bagi memastikan pesawat berkenaan selamat terbang sebagai faktor keselamatan penting setiap masa," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan itu berkata, pihaknya juga membuat pengaturan khas bagi pelepasan pantas dan lancar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow, 8.26 pagi, 16 Jun lalu.

"Kita juga membuat pengaturan penerbangan alternatif untuk rombongan menteri terbabit ke Perancis dalam rangka lawatan kerja di sana," katanya.

Pada 16 Jun lalu, Mohamad Sabu sepatutnya mengadakan temujanji penting dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di London, namun terpaksa dibatalkan.

Ia atas kelewatan pesawat terbabit berlepas kira-kira dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur.

Mohamad dilaporkan singgah di London semata-mata mahu bertemu Perdana Menteri sebelum ke Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 12:32 PM