Hadzlihady Hassan


EMPAT pekerja pembinaan warga Myanmar dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Lost Paradise Resort, Tanjong Bungah, Georgetown, malam ini.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, mereka sedang melakukan kerja mengorek longkang dengan kedalaman kira-kira 4.5 meter di resort terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.21 malam.


ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamatkan pekerja pembinaan warga Myanmar dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanjong Bungah. FOTO Ihsan Bomba

“Maklumat awal daripada saksi mengatakan ada empat pekerja tertimbus dalam runtuhan itu.

“Setakat ini, kerja menyelamat sedang dilakukan dengan pembahagian kepada dua sektor dan jengkaut turut digunakan untuk mengalih tanah," katanya.

Menurutnya, pos kawalan bomba turut dibuka di lokasi kejadian.

Setakat ini, identiti semua mangsa masih belum dapat dipastikan.


ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamatkan pekerja pembinaan warga Myanmar. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 11:05 PM