FOTO pelajar dirotan guru di Johor Bahru yang tular di media sosial.
Nurul Amanina Suahini


IBU kepada pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah kebangsaan di Johor Bahru yang tularkan video guru merotan anaknya, menarik balik laporan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, penarikan balik laporan itu dibuat sehari selepas laporan berkenaan dibuat.

Katanya, pihak polis tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera meskipun laporan itu ditarik balik.

“Berkaitan dengan kes rotan yang mana seorang pelajar kena pukul dengan guru, laporan memang sudah dibuat dan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ibu kepada pelajar berkenaan sudah mengambil keputusan untuk menarik balik laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor di EcoWorld Business Centre, Eco Tropics di Pasir Gudang, hari ini.

Kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana daripada hukuman itu.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata, berkemungkinan penarikan balik laporan itu selepas ada perbincangan kedua-dua pihak membabitkan keluarga pelajar dan pihak sekolah.

“Mungkin dia (ibu) ada perbincangan (antara keluarga dan sekolah). Dalam aspek itu, ia (tarik balik laporan) adalah urusan peribadi, tetapi pihak polis tetap meneruskan siasatan,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan video tular menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan, berlaku di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.

Menerusi video berdurasi dua minit dan 28 saat itu, seorang wanita dilihat mempersoalkan tindakan guru lelaki selepas didakwa merotan anak perempuannya yang juga pelajar sekolah menengah.

Berikutan insiden itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru sudah diarahkan menjalankan siasatan berhubung tular video pelajar dirotan guru pada lengan dan paha dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata, dua kes baharu direkodkan membabitkan seorang lelaki maut, manakala seorang lagi koma dipercayai meminum minuman keras dicemari bahan kimia beracun jenis metanol.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan lima kematian, seorang mangsa mengalami masalah hilang penglihatan dan seorang lagi koma.

“Polis Johor dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah mewujudkan kerjasama dan sedang mengambil tindakan susulan bagi pembanterasan (arak seludup).

“Saya fikir apabila kita sudah gerakkan kerjasama ini, kita akan sertakan mungkin dengan pihak Jabatan Kastam sekali kerana ia membabitkan penyeludupan samsu, arak dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:46 PM