ZAKIR Naik. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


KERAJAAN sudah menerima nota permohonan daripada kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia bagaimanapun masih berpegang kepada pendirian asal iaitu negara ini mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak ada keputusan baharu, masih dengan keputusan asal,” katanya selepas melancarkan buku Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing di Malaysia: Melewati Pertukaran Rejim di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir atas tuduhan penggubahan wang haram di India.

Pendirian itu ditegaskan Dr Mahathir selepas mengambil kira tindakan Kerajaan Australia yang sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pada 20 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan atau keputusan selagi tidak menerima permohonan rasmi daripada India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:20 PM