MOHAMAD Zubair membuat persediaan sebelum menyertai paragliding meluncur di ruang udara. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


“TERBANG ke udara seperti ini sudah sebati dalam hidup sejak saya berusia sembilan tahun dan memang tidak sah jika tidak melakukannya pada setiap minggu,” kata Mohamad Zubair Abd Rahman, 17, seorang daripada 20 peserta luncur udara atau paragliding yang ditemui ketika Program Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019 di sini, kelmarin.

Mohamad Zubair berkata, dia mula aktif dalam sukan lasak itu bermula sejak usia sembilan tahun di bawah bimbingan bapanya, Abd Rahman Baharim, 53.

“Lebih bermakna apabila saya mencatat rekod tersendiri kerana berjaya mencapai sasaran meluncur angin untuk kali ke-500 pada hari lahir saya hari ini (semalam).


ANTARA peserta paragliding meluncur di ruang udara dari puncak Bukit Maras. FOTO Ghazali Kori

“Saya sudah menjalankan aktiviti ini di merata-rata tempat seperti Bukit Jugra di Banting (Selangor), Bukit Ranau (Sabah) dan Pedas di Negeri Sembilan tetapi lokasi yang paling mencabar dan menyeronokkan ialah di Bukit Maras kerana landasan untuk berlepas agak pendek dan tidak rata,” katanya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Katanya, selain menjalankan aktiviti itu pada setiap Sabtu dan Ahad, dia juga aktif menyertai pertandingan luncur angin yang dianjurkan termasuk di luar negara seperti Indonesia.

“Biasanya saya dan bapa akan menjalani latihan bersama setiap kali ingin menyertai pertandingan dan penyertaan itu sekadar pendedahan awal sesuai dengan pengalaman dan usia saya sekarang.

“Saya menyasarkan untuk berada pada tangga lima terbaik apabila menyertai pertandingan itu apabila berusia 25 tahun dan ke atas.


PATRICIA antara 67 peserta dari lapan negara termasuk Thailand, Singapura, Perancis, Amerika Syarikat dan Malaysia yang meluncur udara. FOTO Ghazali Kori

“Kami bukan sahaja terbang untuk kepuasan diri dan mempertingkatkan kemahiran, tetapi turut menyediakan perkhidmatan membawa orang awam merasai pengalaman meluncur angin,” katanya sambil memaklumkan aktiviti itu turut memberi rezeki kepada dia dan keluarga.

Bagi Patricia Pesh, 30, dari Singapura pula, dia baru kali pertama kali menjalankan aktiviti meluncur angin itu di negara ini.

“Saya sudah menjelajah ke semua lokasi meluncur angin di seluruh negara dan tidak sangka di Malaysia mempunyai tapak luncur angin yang sangat menarik serta mencabar.

“Walaupun berjiran, tetapi ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan memang teruja apabila melihat keindahan pemandangan hutan dan perkampungan dari atas,” katanya.


PROGRAM Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019 disertai 67 peluncur dari lapan negara. FOTO Ghazali Kori

Rosalinah Lim, 47, berkata, dia mempunyai masalah gayat yang serius, tetapi memberanikan diri untuk mencubanya dan perasaan gayat itu hilang apabila melihat keindahan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, program dianjurkan itu secara tidak langsung mempopularkan Bukit Maras sebagai satu lokasi paragliding di dunia.

“Lokasi ini sudah dikenali sebagai lokasi pendakian sebelum ini dan sekarang menjadi tapak luncur angin yang mencabar di negara ini.

“Kita akan memastikan segala kemudahan disediakan di Bukit Maras dan kawasan sekitarnya sentiasa berada dalam keadaan baik dan terjaga,” katanya.


KANAK-KANAK turut tidak melepaskan peluang mencuba paragliding. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 6:00 AM