DALAM serbuan di Pasir Panjang, JIM menahan 21 warga asing.
Mohd Azam Shah Yaacob


SATU sindiket penyeludupan manusia dikesan mengaut keuntungan mencecah RM30,000 bagi setiap perjalanan menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Bagaimanapun, tindakan sindiket menggunakan bot pancung sejak beberapa bulan lalu ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas bersama Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Dalam serbuan Unit Operasi Khas (UOK) dan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) JIM bermula jam 3.45 pagi , 33 warga asing serta seorang lelaki ditahan di Pasir Panjang, Sekinchan dan Shah Alam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki tempatan itu bersama dua wanita dan seorang lelaki warga Indonesia didapati bekerja dengan sindiket terbabit bagi mengatur perjalanan, tempat tinggal serta makan dan minum Pati.

Katanya, menerusi risikan selama dua bulan, Pati dibawa masuk bagi ditempatkan bekerja di sektor perkilangan selain bekerja sebagai pembantu rumah.

“Dalam serbuan di Pasir Panjang, JIM menahan 21 warga asing membabitkan 14 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia selain seorang lelaki tempatan.


PATI yang ditahan dalam operasi khas JIM dan APMM di Pasir Panjang dan Shah Alam.

“Susulan itu, JIM menyerbu sebuah restoran dan sebuah pangsapuri di Seksyen 27, Shah Alam dan menahan 12 warga asing membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki dan dua wanita warga Thailand,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lokasi itu dijadikan rumah transit bagi menyimpan Pati yang akan diseludup masuk atau keluar.

Katanya, Pati diseludup masuk dalam bot pancung yang mampu memuatkan sehingga 30 orang secara berhimpit.

“Semua Pati perlu membayar RM1,000 seorang bagi urusan penyeludupan dan sindiket memperoleh RM30,000 bagi setiap perjalanan.

“Apa yang membimbangkan, ada Pati berkenaan turut membawa anak kecil sama ada untuk masuk ke negara ini atau keluar dari Malaysia,” katanya.

Menurutnya, semua Pati kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.


KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:30 AM