GAMBAR kenangan Sazlyzam (kanan) bersama Faridah, anak lelaki mereka Rayqarl Haziq serta Qaleesya (kanan).
Redzuan Muharam


“DIPOHON ibu bapa angkat beliau hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhampiran untuk mendengar sesi penerangan daripada kami,” kata jurucakap JPN.

Beliau dihubungi hari ini untuk mengulas mengenai langkah perlu diambil ibu bapa angkat Armanda Qaleesya bagi mendapatkan hak jagaan terhadap kanak-kanak berumur tujuh tahun itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia membantu mana-mana pasangan termasuk ibu bapa angkat Armanda Qaleesya iaitu Sazlyzam Ariffin, 37, dan isterinya, Faridah Mat Desa, 30.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan pendaftaran pengangkatan dibuat pemohon mengikut prosedur sepatutnya.

“Permohonan pengangkatan boleh dibuat di mana-mana kaunter JPN berhampiran dengan kawasan kediaman ibu bapa angkat dan kanak-kanak terbabit wajib hadir ketika prosiding proses berkenaan.

“Manakala, kehadiran ibu bapa kandung tidak diwajibkan jika surat keizinan berkanun dikemukakan.

“Pasangan terbabit boleh mengemukakan bukti menjaga kanak-kanak itu selama dua tahun melalui surat keizinan ibu bapa kandung iaitu Akuan Berkanun dibuat oleh mereka (ibu bapa kandung) semasa proses penyerahan.

“Perjanjian secara tidak formal antara ibu bapa kandung dan angkat pula tidak boleh diguna pakai, sebaliknya surat akuan berkanun kedua-dua pihak yang menjadi keperluan undang-undang,” katanya.

Portal berita Harian Metro malam tadi melaporkan kisah Sazlyzam dan Faridah yang mahu Qaleesya dikembalikan semula selepas diserahkan kepada ibu kandung kanak-kanak berkenaan sekitar 8.30 malam pada 3 Julai lalu.

Menerusi laporan berkenaan, Sazlyzam berkata, beliau kini dalam peringkat perbincangan dengan peguam untuk menuntut kembali anak angkatnya itu memandangkan mereka adalah penjaga sebenarnya sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan.

Terdahulu, kisah Sazlyzam mendapat perhatian pelbagai pihak selepas memuat naik gambar dan status mengenai pengalaman bersama anak angkatnya itu di Facebook miliknya.

Sazlyzam turut memuat naik video Qaleesya ketika berusia dua tahun menunjukkan gelagat kanak-kanak terbabit yang begitu petah berbicara dengan dia dan isterinya.

Berita berkaitan

'Kembalikan Qaleesya kami...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:24 PM