DIDEDAHKAN dengan ternakan lembu sejak berusia enam tahun.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA tidak kisah dilabel gadis lembu kerana aktiviti mengurus ternakan ini menjadi minat sejak kecil,” kata Nur Fatiha Sanis, 18, dari Kampung Felda Kumai, Triang, Pahang.

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Kuala Berang itu membantu bapanya, Sanis Johar, 43, mengurus 100 lembu sejak berusia 13 tahun.

Nur Fatiha berkata, dia didedahkan dengan bidang penternakan lembu sejak berusia enam tahun.

“Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum ayah memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan.

“Ketika ini, saya dan ibu, Zawarna Shamsudin, 37, jaga dan urus semua lembu di kandang sementara bapa menguruskan ladang getah.

“Semua kerja di ladang dilakukan sendiri dan saya juga boleh melapah lembu,” katanya yang akan menyertai kursus Pekerja Ladang Ruminan di Institut Veterinar Malaysia (IVM) Kluang, Johor.

Menurut Nur Fatiha, dia banyak berkongsi gambar menjaga ternakan lembu di media sosial kerana mahu membuktikan wanita juga mampu menguruskan bidang dimonopoli lelaki.


NUR Fatiha menunggang lembu ternakannya.

“Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Sanis berkata, dia tidak pernah memaksa anak mengikut jejak langkahnya, tetapi minat Nur Fatiha menyebabkan dia menyokong anak sulungnya itu.

“Soal jantinabukan penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu.

“Peluang berjaya dalam bidang penternakan ini cerah cuma golongan muda kurang berminat dan tidak mahu rebut peluang.

“Saya yakin Nur Fatiha boleh berjaya dan pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitannya membuka mata masyarakat terutama wanita untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Ibunya, Zawarna berkata, dia tidak kisah cemuhan dan tanggapan masyarakat terhadap anaknya.

“Saya bangga dia mahu menguruskan lembu di kandang kerana saya tahu cabaran yang ada.

“Bukan semua wanita sanggup urus lembu di kandang tetapi apabila dia mampu buat dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.


NUR Fatiha bersama lembu yang diternaknya di Kampung Felda Kumai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:15 AM