GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


BUDAK perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan akibat tidak sedarkan diri kerana tercekik roti di rumah pengasuh di pangsapuri di Selayang, Gombak pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Selayang.

“Pegawai perubatan berkenaan memaklumkan menerima kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana tercekik roti di rumah pengasuhnya, kira-kira 10 pagi.

“Ketika berada di wad kecemasan Hospital Selayang, pegawai perubatan itu turut menemui cebisan roti semasa proses resusitasi (kaedah memulihkan seseorang yang hampir maut secara tiba-tiba) berjalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital terbabit pada 10.39 pagi, kelmarin.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah ‘Hypoxic Ischaemic Encephalopathy’ dengan kegagalan beberapa organ.

“Kerosakan otak berlaku apabila bayi berkenaan tidak memperoleh oksigen dan aliran darah secukupnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap pengasuh bayi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:40 PM