AINUL Mardhiah bersama bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. FOTO IG AHMAD SAFIUDDIN
Nurul Fhatihah Zakinan


AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin dijangka tiba di ibu negara tengah hari ini dan akan terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut sumber, Ainul Mardhiah, 10 bulan, bersama bapa Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi sudah bertolak dari United Kingdom (UK) jam 9.30 malam tadi (waktu UK).

“Ainul dijangka tiba hari ini sebelum terus ke HKL untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan Ahmad Safiuddin memaklumkan anaknya akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.

“Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat.

“Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:33 AM