(Dari kiri) Muhammad Hasif, Ahmad Hazim, Nur Hanisah dan Imran Harith berdoa sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Mohamad Hussin


“SAYA terharu, sedih dan bersyukur kepada Allah SWT kerana mereka pergi menunaikan ibadah haji sewaktu kedua orang tua masih ada.

“Saya reda dengan ketentuanNya kerana mereka pergi serentak melakukan rukun Islam kelima,” kata Dr Noor Hassan Yahaya, 53, bapa kepada empat beradik yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Beliau berkata, Muhammad Hasif, 26, Imran Harith, 25, Nur Hanisah, 23, dan Ahmad Hazim, 19, mula mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2008.

Menurutnya, mereka menerima tawaran TH untuk mengerjakan haji pada Januari lalu walaupun mengikut jadual pada tahun depan.

“Sejak mereka berusia setahun, saya dan isteri Norlida Hassanal Bashry, 54, sudah membuka akaun simpanan TH masing-masing sebagai persediaan awal ke Tanah Suci.

“Duit raya yang mereka dapat sejak zaman kanak-kanak akan kami simpan dalam TH selain duit yang saya simpan untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH di Sepang, hari ini.

Keluarga berkenaan dari Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru, pertama kali mengerjakan ibadah haji manakala ibu bapanya sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 2009.

Dr Noor Hassan yang juga pakar bius di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, berkata hati mereka amat berat melepaskan keempat-empat anaknya, namun tuntutan agama sangat penting sebagai Muslim.

Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, sebagai abang sulung, dia akan menjaga adik beradik seperti diamanahkan mak dan ayah.

“Apa yang berlaku adalah tanggungjawab saya sebagai abang sulung. Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan amanah diberikan.

“Kami sudah membuat persediaan awal termasuk mengikuti kursus haji sejak beberapa bulan lalu termasuk Kursus Perdana Haji di Johor Bahru.

“Alhamdulillah, semoga urusan kami dipermudahkan untuk menjalani ibadah dan membantu jemaah lain terutama warga emas yang uzur,” katanya.

Mereka antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT18B (XY5670) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 2.30 petang dan dijangka tiba pada 6 petang (waktu Arab Saudi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:33 PM