EZZATUL Husna bersama pingat diterimanya sebagai penuntut ACCA keempat terbaik di dunia.
Redzuan Muharam


“SAYA bersyukur dengan penghormatan diberikan dan kejayaan ini membuat saya lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita sebagai akauntan,” kata Ezzatul Husna Abdul Razak, 25.

Ezzatul Husna mengharumkan nama negara selepas diumum sebagai penuntut sijil kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) keempat terbaik di dunia dalam satu majlis penyampaian pingat diadakan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ezzatul Husna yang juga pemegang Ijazah Perakaunan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi penghormatan itu selepas mendapat keputusan cemerlang dalam dalam kertas P2, Laporan Korporat sesi Mac 2018.

Menurutnya, dia terkejut selepas berita kejayaannya tular di laman sosial dan berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan.

Katanya, bukan mudah untuknya meraih keputusan cemerlang dan percaya kejayaaan itu tidak mungkin dicapai tanpa doa daripada ibu, Junaidah Bakar, 51, dan bapanya, Abd Razak Sanusi, 55.

“Saya mendapat keputusan pada Mei 2018 iaitu dua bulan selepas menduduki peperiksaan bagi kertas berkenaan.

“Memang terkejut dan pada masa sama gembira dengan keputusan diperoleh memandangkan soalan kertas P2 agak susah.

“Disebabkan itu, saya banyak membuat latihan berdasarkan soalan tahun sebelumnya sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan berkenaan. Alhamdulillah, usaha itu berhasil,” katanya.

Ditanya mengenai resipi kejayaannya, Ezzatul Husna berkata, dia tiada resipi kejayaan khusus sebaliknya amat menjaga hubungan baiknya dengan ibu bapa selain meminta mereka mendoakannya.

Katanya, restu dan sokongan ibu bapa amat penting serta sentiasa menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Kebiasaannya, saya akan menghubungi ibu dan ayah sebelum masuk ke dewan peperiksaan dan minta mereka doakan saya supaya dapat menjawab soalan dengan mudah.

“Itu amalan saya sejak dulu lagi. Selebihnya, sama seperti pelajar lain iaitu menjaga kesihatan dan memastikan mendapat tidur cukup iaitu sekurang-kurangnya lapan jam sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 10:31 PM