GAMBAR Hiasan
Mary Victoria DassAmir Abd Hamid dan Khairul Najib Asarulah Khan dan Faliq Lajim


JOHOR BAHRU: Pendedahan mengejutkan apabila ada kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah dikesan ketagih menghisap rokok elektronik atau vape.

Kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Bapa pelajar yang juga Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, Shamsudin Baharon, 46, berkata, aktiviti tidak sihat itu terbongkar hasil pemeriksaan mengejut guru sekolah itu terhadap pelajar sekolah menengah berkenaan.

Beliau merangkap Pengerusi Rukun Tetangga Zon A, Taman Bukit Merah di sini, berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati ada pelajar membawa peralatan vape ke sekolah dan menggunakannya di tandas bagi mengelakkan dihidu guru.

Menurutnya, malah ada antara mereka juga dikenal pasti membekalkan peralatan berkenaan kepada rakan lain.


KEWUJUDAN pelbagai jenis vape bersaiz kecil.

“Guru yang prihatin berjaya mengesan aktiviti berkenaan apabila ada segelintir daripada mereka kerap ke tandas pada waktu pembelajaran.

“Apabila menjalankan pemeriksaan mengejut di tandas, mereka mendapati lokasi itu menjadi markas pelajar sekolah menengah itu menghisap vape,” katanya.

Menurutnya, beberapa peralatan e-rokok ditemui termasuk nano stick vape, perisa dan pelbagai alat vape dengan saiz berbeza.

Shamsudin berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan pelajar terbabit ketagih dalam penggunaan vape sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, lebih mengejutkan, segelintir pelajar mengakui adik-beradik mereka turut ketagih e-rokok.

“Kami bertemu dengan ibu bapa pelajar terbabit bagi memaklumkan tabiat tidak sihat itu.

“Dalam salah satu kes, pelajar sekolah menengah terbabit turut mempengaruhi adiknya yang baru berusia 10 tahun untuk menghisap vape,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Menurutnya, gejala baru itu membimbangkan apatah lagi vape dan cecairnya boleh dibeli pada harga serendah RM2 hingga RM60.

“Saya harap pihak ibu bapa memantau ‘hobi’ sulit anak masing-masing dan tidak menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada guru di sekolah.

“Gejala ini diyakini akibat pergaulan bebas tanpa pemantauan hingga murid atau pelajar sekolah terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah ini,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Datuk Sabuddin Sani mengakui walaupun gejala itu masih pada skala terkawal, namun tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua pihak terutama ibu bapa untuk menangani isu berkenaan.

“Anak-anak keliru dengan apa yang diajar dan apa yang mereka lihat kerana di sekolah cikgu mengajar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan, tetapi di rumah, ayah sendiri yang menghisap rokok secara tidak langsung ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik.

“Kelonggaran dari sistem keluarga itu antara puncanya, jadi ibu bapa haruslah menjadi suri teladan dan bukan hanya menyalahkan anak-anak apabila mereka mula terjebak dengan perkara negatif sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:00 AM