Dziyaul Afnan Abdul Rahman


REMAJA perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Gial, Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penderaan remaja berusia 14 tahun itu selepas ia ditularkan jiran mangsa menerusi satu akaun Twitter sejak malam tadi.

Menurutnya, ibu dan abang kandung mangsa masing-masing berusia 40 dan 15 tahun sudah dipanggil polis pagi tadi bagi membantu siasatan.

"Jiran mangsa membuat pendedahan di media sosial mendakwa remaja terbabit dibiarkan tidur di luar rumah.

"Menurut pengguna itu, remaja berkenaan disyaki diabaikan oleh keluarganya yang keluar berniaga di luar kawasan rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil keterangan awal terhadap mangsa, dia dipercayai dipukul berikutan terdapat kesan kecederaan lama pada bahagian belakang badan, pergelangan tangan kiri dan kesan luka baru di belakang leher.

"Kita masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital kerana kesan kecederaan itu adalah kesan lama.

"Polis masih menyiasat sejak bila mangsa dibiarkan tidur di luar rumah oleh keluarganya itu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam tular rakaman seorang remaja perempuan tidur di luar rumah di Twitter dipercayai didera oleh keluarganya.

Dalam rakaman terbabit, selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa mendakwa turut disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh termasuk anggota badannya dikepit playar.

Rakaman yang mendapat 179,000 tontonan dan lebih 20,000 diulang ciap pengguna mendapat reaksi netizen dan pihak berkuasa di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 2:23 PM
GAMBAR yang tular menunjukkan mangsa dibiarkan tidur di luar rumah. FOTO ihsan pembaca
GAMBAR yang tular menunjukkan mangsa dibiarkan tidur di luar rumah. FOTO ihsan pembaca
Digital NSTP Subscribe